Home Pertahanan dan Keselamatan Bot asing dijumpai tenggelam di perairan Tanjung Payung

Bot asing dijumpai tenggelam di perairan Tanjung Payung

by Admin

KUCHING, 14 Dis — Sebuah bot disyaki milik nelayan dari Vietnam ditemui tenggelam di kedudukan 44 batu nautika (81.488 kilometer) dari perairan Tanjung Payung di Miri, kira-kira pukul 4.00 petang, Khamis, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak.

Dalam satu kenyataan di sini, Maritim memberitahu bahawa penemuan itu dilaporkan seorang kapten kapal tangki LNG, Seri Cempaka selepas melihat sebuah bot nelayan tenggelam di lokasi berkenaan.

“Kapten kapal itu memberitahu mereka melihat sebuah bot berwarna biru sebahagiannya tenggelam namun tiada tanda-tanda mangsa berada di lokasi berkenaan. Seterusnya pihak Maritim mengaktifkan usaha mencari dan menyelamat dan mengarahkan asetnya, kapal KM Stapa untuk ke lokasi kejadian bagi melaksanakan pencarian bot itu,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata KM Stapa tiba di lokasi pada pagi ini dan berjaya mengesan bot itu, namun ketika dijumpai bot itu sudah 80 peratus tenggelam dan tiada penemuan lain di sekitar lokasi.

“Tiada mangsa dijumpai, dan berdasarkan modus operandi yang sering dilakukan bot nelayan asing Vietnam sewaktu menceroboh di kawasan ini, dipercayai kru bot yang tenggelam itu telah diselamatkan oleh rakan senegara mereka daripada bot yang berasingan,” menurutnya.

Setakat ini Maritim Sarawak tidak menerima sebarang laporan sama ada daripada pihak polis mahupun persatuan nelayan tempatan mengenai kehilangan nelayan di perairan berdekatan.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply