Home Politik Mizan Adli kekal sebagai Pengerusi Tetap Angkatan Muda KEADILAN (AMK)

Mizan Adli kekal sebagai Pengerusi Tetap Angkatan Muda KEADILAN (AMK)

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Muhammad Mizan Adli kekal sah sebagai Pengerusi Tetap Angkatan Muda KEADILAN (AMK).

Sebelum ini Pemuda PKR (AMK) bertindak melucutkan jawatan beliau serta timbalan pengerusi tetap, Mohd Ramly Ahmad.

Jawatan itu kekal sah kerana Peraturan Tetap AMK dan perlembagaan parti tidak beri sebarang kuasa kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) AMK untuk melucutkan kuasa dua jawatan terbabit.

Menurut Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, dua jawatan itu adalah sebahagian daripada Kongres Nasional yang juga kuasa tertinggi parti seperti termaktub dalam Perkara 10.3.1 Peraturan Tetap AMK dan Fasal 17 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Surat Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Razak yang dangkal dan akal senteng cuba memesongkan fakta bagi merasionalkan perlucutan tersebut dengan hanya menyatakan Perkara 5.1 & 5.3 Peraturan Tetap dan menyembunyikan Perkara 5.2 dalam Peraturan Tetap,

“Mengikut Perkara 5.2, kesemua pemegang jawatan dalam AMK kekal sebagai anggota AMK walaupun telah melebihi had umur yang ditetapkan sehingga tamat tempoh khidmat atau sehingga digantikan oleh pemegang jawatan yang baru,” kata Hilman dalam satu kenyataannya hari ini.

Beliau berkata fakta bahawa jumlah perwakilan yang layak mengundi dalam Kongres Nasional 2018 hanyalah berjumlah 270 orang memperlihatkan betapa kepimpinan MPP AMK adalah lemah dan tidak tersusun kerana Perkara 10.3.3 Peraturan Tetap telah memperuntukkan 7 orang perwakilan AMK untuk setiap cabang.

“Sekiranya hanya 270 perwakilan yang boleh memilih, ini bermakna Kongres hanya dihadiri oleh kurang 39 Cabang daripada lebih 178 Cabang seluruh negara. Apatah lagi semua keputusan pemilihan yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah disahkan dalam Kongres Nasional 2018. Wibawa dan integriti JPP harus dipertahankan,” katanya.

Hilam menegaskan agar kepimpinan parti segera menarik semula surat pelucutan jawatan tersebut memandangkan ia dengan jelas melanggar peruntukan seperti yang termaktub dalam perlembagaan PKR dan Peraturan Tetap Pemuda PKR.

Related Articles

Leave a Reply