Home Semasa APMM tahan bot dan nelayan Vietnam ceroboh, rompak hasil laut negara

APMM tahan bot dan nelayan Vietnam ceroboh, rompak hasil laut negara

by Bernama

SANDAKAN, 19 Nov – Sebuah bot nelayan asing bersama empat awak-awak warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Sandakan kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut negara di perairan Kinabatangan semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata bot itu ditahan lebih kurang 4 petang selepas insiden mengejar selama 30 minit di posisi 18.6 batu nautika timur Kuala Kinabatangan Besar.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua empat awak-awak lelaki warga Vietnam termasuk tekong berumur 36 hingga 61 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan yang sah.

“Bot itu disyaki menceroboh perairan Malaysia tanpa kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap balat (gamat) secara haram dengan menggunakan peralatan yang dilarang dan menyebabkan kerosakan kepada ekosistem laut terutamanya terumbu karang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zainudin berkata bot, peralatan dan hasil balat seberat lebih kurang 200 kg dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, kes itu merupakan yang kelima membabitkan bot nelayan Vietnam ditahan sepanjang tahun ini oleh Zon Maritim Sandakan dengan balat sebagai hasil yang dirompak. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply