Home Semasa Maritim Malaysia selamatkan nelayan asing terkandas lima hari di perairan Miri

Maritim Malaysia selamatkan nelayan asing terkandas lima hari di perairan Miri

by Bernama

KUCHING, 7 Sept – Seorang nelayan dipercayai warganegara Filipina yang mengakui hanyut selama lima hari di perairan Miri selepas terpisah dengan bot induk dinaikinya diselamatkan bot milik pelantar Sarawak Shell Berhad, malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata lelaki berusia 60-an itu diberikan rawatan awal dan makanan oleh kru yang berada di atas pelantar sebelum bantuan lanjut oleh Maritime Rescue Sub Centre Kuching yang bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan.

Mangsa yang dikenali sebagai Worknel berkenaan kemudian dipindahkan ke atas kapal Maritim Malaysia kira-kira pukul 11.00 malam dan dibawa mendarat ke jeti Marina Bay Miri kira-kira pukul 8.15 pagi ini.

“Mangsa menyatakan bahawa dia terpisah dengan ‘motherboat’ atau bot induk selama 5 hari semasa sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan Bintulu-Miri.

“Kami akan menyerahkan mangsa kepada pihak hospital untuk memeriksa keadaan mangsa dan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan dan menambah bahawa laporan polis turut dibuat memandangkan mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri.

Robert dalam pada itu mengingatkan orang ramai terutamanya komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.

Ini termasuk memastikan alat komunikasi yang berada di atas bot atau kapal berfungsi dengan baik, selain membawa peralatan kecemasan seperti Personal Locator Beacon untuk memudahkan Maritim Malaysia mengesan jika terdapat sebarang kecemasan di laut.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang kecemasan dan aktiviti mencurigakan di perairan Malaysia supaya menghubungi pusat operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak di talian 082-432544 yang beroperasi 24 jam atau MERS 999. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply