Report Card‘ (kad laporan) PH hanya memberi gambaran prestasinya untuk tempoh satu tahun…bukan tempoh sepenggal penuh lima tahun sebagai kerajaan.

“Insya-Allah PH akan dapat memenuhi jangkaan rakyat, sebelum mereka keluar semula untuk mengundi dalam tempoh empat tahun untuk Pilihan Raya Umum 15,” katanya dalam hantaran terbaru di laman sosial Facebook.

Rafidah menjangkakan rakyat telah dan akan terus membuat penilaian akan prestasi PH, dari segi ahli-ahli pentadbiran secara individu dan kolektif, langkah-langkah yang telah diambil serta sedang dirancang, dan sebarang perancangan yang akan dilaksana.

Beliau berkata, kerajaan PH mewarisi pentadbiran dalam keadaan negara yang sangat mendukacitakan hasil peninggalan kerajaan sebelumnya yang telah memerintah dalam jangkamasa lebih kurang satu dekad.

Skandal demi skandal pecah amanah serta rasuah telah terbongkar, dan sekarang mula serta sedang dibawa ke hadapan pengadilan, katanya.

Beliau menyifatkan sistem-sistem pentadbiran yang tertentu telah rosak dan budaya birokrasi telah dicemar oleh nilai-nilai negatif serta tergelincirnya haluan kompas di kalangan mereka yang telah mengabaikan tanggungjawab dan akauntabiliti.

“Pendek kata, PH mempunyai agenda-agenda selari yang perlu ditangani.

“Ada yang boleh diimplementasi dalam masa terdekat dan ada yang memerlukan siasatan mendalam, sementara ada beberapa dasar dan langkah baru yang perlu di kaji secara mendalam dan terperinci sebelum dilaksanakan,” jelas beliau. – Bernama