Home Pertahanan dan Keselamatan Projek Land Swap: Kementerian Pertahanan rugi lebih RM500 juta

Projek Land Swap: Kementerian Pertahanan rugi lebih RM500 juta

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Mei – Kementerian Pertahanan kerugian lebih RM500 juta akibat projek Land Swap, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang media di Dewan Negara, hari ini.

Menurut Mohamad, hasil siasatan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) keatas projek Land Swap telah menemui pelbagai kelemahan.

“Kesemua 16 projek Land Swap tersebut melibatkan sebanyak 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan di antaranya telah dan akan dipindah milik.

“Tanah-tanah balasan yang terlibat melibatkan nilai sebanyak RM4.8 bilion dan nilai kos projek sebanyak RM4.9 bilion,” kata Mohamad yang menyatakan nilai tersebut adalah berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian Tanah dan Harta (JPPH).

“Anggaran kerugian atau ketirisan hasil Kerajaan adalah melebihi RM500 juta yang disebabkan oleh penilaian tanah yang lebih rendah daripada nilai pasaran dan pengurusan kontrak yang lemah,” kata Mohamad di lobi Parlimen.

Menurut beliau, antara penemuan lain yang didapati oleh JKSTUPKK dalam projek Land Swap yang dikenalpasti oleh jawatankuasa penyiasatan antaranya pemindahan milik tanah kerajaan sebelum projek balasan siap sepenuhnya dan pelanggaran kontrak serta peraturan.

Selain daripada itu, ketiadaan ‘due diligence’ yang komprehensif terutamanya keupayaan teknikal dan kewangan syarikat yang terlibat turut mengakibatkan kerugian kerana kegagalan dan kelewatan.

“Tiada perancangan yang teliti oleh Kementerian Pertahanan dalam pelaksanaan projek menyebabkan objektif asal tidak tercapai sepenuhnya.

“Campur tangan yang keterlaluan demi kepentingan politik juga telah menyumbang kepada kelemahan tadbir urus pelaksanaan projek Land Swap di Kementerian Pertahanan,” jelas Mohamad.

JKSTUPKK ditubuhkan pada 30 Mei 2018 dan diketuai oleh Tan Sri Ambrin Buang.

Artikel Berkaitan: Campur tangan politik ancam strategik pertahanan negara

Artikel Berkaitan: Kerugian RM500 juta, Kementerian Pertahanan lapor PDRM,SPRM

Related Articles

Leave a Reply