KUALA LUMPUR, 23 Feb – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab oleh pihak yang meletakkan patung berhala di Surau Sabilul Huda, Klang pada 20 Feb lalu.
Beliau berkata tindakan tersebut jelas berniat jahat untuk menghina agama Islam dan juga menjejaskan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
“Pihak polis telah menerima beberapa laporan mengenai perkara ini dan saya telah mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk menyiasat kes ini secara terperinci.
“Tindakan tegas berasaskan undang-undang hendaklah diambil ke atas pihak yang melakukan perbuatan terkutuk yang berbaur hasutan dan amat provokatif ini”, katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook rasminya hari ini.
Menurut Muhyiddin, kejadian penghinaan terhadap agama Islam dan mesej-mesej yang disebarkan melalui media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan umat Islam.
“Yang terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW. Suspek kes ini sudah dikenal pasti dan siasatan sudah diselesaikan oleh pihak polis.
“Saya percaya Timbalan Pendakwa Raya akan membuat keputusan mengenai pendakwaan suspek itu di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.
Muhyiddin menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.
“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkmah dan dihukum jika disabitkan kesalahan”, tegas beliau lagi.