KUALA LUMPUR, 20 Feb – Gabungan NGO Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Gerakan Memartabat Pejuang Negara (GMPN) hari ini membuat laporan polis berhubung laporan siasatan projek tukar tanah (land swap) di Kementerian Pertahanan yang mengakibatkan kerugian dan ketirisan lebih RM500 juta.
Pengerusi Gabungan NGO PH, Asri Talib berkata kekesalan dengan ketirisan perbelanjaan tadbir urus menglibatkan projek land swap.
“Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu amat baik yang dapat menjaga kebajikan Kementerian Pertahanan dan pejuang-pejuang negara.
“Rakyat Malaysia hari ini peka kepada perkara yang dilakukan seperti kejahatan, ketirisan, rasuah pihak-pihak lalu yang telah mengambil kesempatan dengan menindas pejuang-pejuang negara ini,” kata Asri selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi.
Menurutnya lagi, wang RM500 juta adalah satu jumlah yang besar, sepatutnya digunakan untuk membangunkan kapisiti dan kualiti Kementerian Pertahanan.
Beliau menyeru agar kes ini disiasat dengan terperinci oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ke lubang cacing.
Artikel berkaitan: Kerugian RM500 juta, Kementerian Pertahanan lapor PDRM,SPRM
Manakala Pengerusi Pertubuhan GMPN, Mej Razali Zakaria (Bersara) berkata laporan polis ini dibuat mewakili 31 pertubuhan NGO dibawah gabungan NGO Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata GMPN dan NGO-NGO memohon agar mana-mana orang yang terlibat di dalam tadbir urus projek tersebut untuk tampil membuat kenyataan.
“Projek itu jelas ada unsur jenayah rasuah yang wajib disiasat oleh PDRM dan SPRM seperti di laporkan oleh Tan Sri Ambrin Buang”, katanya.
Manakala terdapat campur tangan orang politik dalam membuat keputusan menyebabkan 16 projek land swap mengalami kerugian melebihi RM500 juta.
“Ekoran daripada itu juga projek-projek tersebut tidak berkualiti dan tidak ada yang disiapkan”, ujarnya.
Semalam Mohamad Sabu berkata perkara itu didedahkan dalam laporan penelitian khas Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.