Home Semasa “Cambridge International University, bukan University of Cambridge” – Dato’ Marzuki

“Cambridge International University, bukan University of Cambridge” – Dato’ Marzuki

by M.Daim

Kuala Lumpur, 8 Feb – Timbalan Menteri Luar, Senator Dato’ Marzuki Yahya hari ini tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan beliau memalsukan status ijazahnya.

“Ada pihak yang mengatakan bahawa saya tidak bercakap benar kerana di Wikipedia tertulis saya mendapat pendidikan dari University of Cambridge sedangkan universiti tersebut tidak menawarkan kursus Bachelor of Business Administration in Logictics dan tidak menawarkan program pengajian secara jarak jauh,” jelas Marzuki dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini.

Pada masa yang sama, Marzuki turut menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memperincikan status ijazahnya seperti tertera di laman sesawang umum, Wikipedia. Malah, beliau tidak pernah berniat untuk menggambarkan seolah-olah beliau mendapat pendidikan di University of Cambridge.

“Sejujurnya saya tidak pernah memasukkan apa-apa maklumat berkaitan pendidikan saya di dalam Wikipedia. Saya juga tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk melakukannya.

“Bahkan, ketika ditanya oleh media sebelum ini, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya mendapat kelulusan dari Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat dan bukannya University of Cambridge,” jelas Marzuki

Kenyataan dan transkrip ijazah Timbalan Menteri Luar Negeri turut dimuatnaik di akaun media sosial kendalian BERSATU.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) menyatakan bahawa beliau memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU pada sekitar tahun 2002. Pada ketika itu, beliau sedang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan lojistik milik beliau sendiri di Pulau Pinang.

“Seikhlasnya, niat saya ketika itu ialah untuk menimba ilmu kontemporari dan terkini mengenai industri perkapalan dan lojistik di negara maju, termasuklah di Amerika Syarikat. Harapan saya ialah agar ilmu yang diperolehi akan dapat membantu mengembang dan memajukan perniagaan perkapalan yang saya usahakan.

“Sewaktu saya memulakan kursus pada sekitar tahun 2002 dan mendapat kelulusan pada tahun 2005, masyarakat Malaysia dan juga masyarakat dunia masih belum membincangkan tentang akreditasi universiti secara meluas,” kata Marzuki.

Menurut beliau, dunia pada ketika itu masih belum ada sistem ranking universiti yang terkenal termasuk senarai universiti palsu (“bogus university”) seperti mana yang wujud pada hari ini.

Marzuki turut menyertakan transkrip pendidikan beliau dan telah dimuatnaik di akaun media sosial kendalian BERSATU.

“Oleh itu, apabila mengetahui mengenai kursus yang ditawarkan oleh CIU yang berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan.

“Sejujur dan seikhlasnya saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa. Ini kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi,”kata Marzuki.

Beliau turut memperakui bahawa tidak pernah terfikir bahawa beliau akan menjadi seorang anggota pentadbiran kerajaan seperti hari ini. Beliau turut berharap penjelasan yang dikemukan dapat meleraikan kekeliruan yang menjadi kontroversi semenjak beberapa hari lalu.

“Dengan ini juga, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu kepada YAB Perdana Menteri dan kepimpinan parti,” kata Marzuki.

Related Articles

Leave a Reply