Home Semasa Kerajaan hormati keputusan Sultan Muhammad V – TPM

Kerajaan hormati keputusan Sultan Muhammad V – TPM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata,
kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa semalam.

Memetik laporan Bernama, beliau melahirkan rasa sedih berhubung keputusan itu memandangkan peristiwa pertukaran kerajaan susulan kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum ke14, Mei lalu, adalah satu peristiwa bersejarah kepada negara yang berlaku dan disaksikan semasa pemerintahan baginda.

“Baginda juga memberi pengampunan kepada suami saya (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Kami hormati keputusan Seri Paduka,” katanya selepas menghadiri jamuan malam Makmal Kemanusiaan 2.0 anjuran Mercy Malaysia di Universiti Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) malam tadi.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan mengenai peletakan jawatan itu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, pada petang 6 Januari 2018.

Terdahulu, ketika berucap, Dr Wan Azizah berkata kerajaan Myanmar perlu bertanggungjawab dan tidak wajar membiarkan urusan menjaga kebajikan pelarian Rohingya dipikul oleh negara lain.

Katanya, masyarakat antarabangsa seharusnya memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Myanmar supaya bertanggungjawab serta memberikan hak-hak sepatutnya kepada pelarian Rohingya.

“Bentuk diplomasi kemanusiaan seperti ini diharapkan dapat diteruskan secara sistematik dan konsisten dalam memberi tekanan kepada pihak-pihak berkaitan dalam menyelesaikan permasalahan masyarakat Rohingya,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply