Home Semasa Hanya pergaduhan kecil, tiada sentimen perkauman – Polis

Hanya pergaduhan kecil, tiada sentimen perkauman – Polis

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR 3 Jan –  Polis mengesahkan kekecohan yang berlaku di sebuah flat sekitar kawasan Salak Selatan di sini semalam tidak membabitkan sentimen perkauman seperti yang digembar-gemburkan dan tersebar di aplikasi WhatsApp serta laman sosial.

Menurut laporan Berita Harian, memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata kekeliruan timbul kerana kehadiran ramai anggota polis di lokasi kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian.

“Tiada pergaduhan besar seperti yang tular di WhatsApp sejak malam tadi dan ia juga tidak membabitkan rusuhan atau pergaduhan antara kaum. Ia sebaliknya hanya insiden yang membabitkan dua individu sahaja.

“Orang ramai jangan mudah percaya dengan perkara yang tular di laman sosial kerana lokasi kejadian terkawal dan memang arahan daripada saya supaya ramai anggota ke lokasi bagi mengawal keadaan. Tiada kejadian yang serius,” katanya lagi.

Dalam pada itu, menurut Mohamed Mokhsein, seorang lagi lelaki ditahan ketika membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan sejurus selepas kejadian.

Ujar beliau, pihaknya akan memohon perintah reman bagi menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.

Dalam kejadian pukul 7.45 malam tadi, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan telah berlaku insiden pergaduhan antara dua individu di kawasan flat berkenaan dan kedua-duanya ditahan dan kemudian diberi rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply