Home Semasa Dua kapal meletup, enam kru melecur

Dua kapal meletup, enam kru melecur

by Air Times News Network

Batu Pahat, 15 Dis – Enam lelaki termasuk dua rakyat China melecur di bahagian muka, tangan dan kaki selepas sebuah kapal malim meletup di kedudukan 5 batu nautika barat daya Pulau Sialu dekat Batu Pahat semalam.

Pengarah Zon Batu Pahat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Mohamad Othman berkata, sebaik sahaja menerima laporan berhubung insiden berkenaan, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak kami mendapati terdapat kesan letupan pada kapal malim yang berada dalam keadaan bertambat pada sebelah kapal tangki Gas Infinity yang bertujuan untuk melakukan kerja-kerja pemindahan barang.

“Dalam insiden tersebut, empat kru kapal malim bersama dua kru kapal tangki berusia lingkungan 29 hingga 48 tahun didapati mengalami kecederaan melecur akibat terkena letupan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Mohamad lagi, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun kesemua mangsa dilaporkan stabil.

Beliau berkata kejadian kemalangan kapal itu masih dalam siasatan Zon Maritim Batu Pahat.

Related Articles

Leave a Reply