Home Semasa 3 maut, 26 cedera dalam letupan di pusat membeli-belah

3 maut, 26 cedera dalam letupan di pusat membeli-belah

by M.Daim

KUCHING, 5 Dis – Satu letupan kuat telah berlaku di pusat membeli-belah CityONE Megamall pada petang semalam. Letupan yang dipercayai berpunca dari kebocoran gas telah meragut 3 nyawa manakala mencederakan 26 orang yang lain.

Kejadian berlaku pada kira-kira 3.30 petang semalam semasa kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan di sebuah premis makanan.

Menurut laporan Utusan Borneo, 2 daripada mangsa yang maut adalah pekerja restoran berasal dari Sarawak manakala seorang lagi berasal dari Pulau Pinang.

Kerja-kerja pengubahsuaian dijalankan sebagai persiapan untuk acara pembukaan restoran yang dijadualkan akan berlangsung pada hari ini.

Kejadian letupan turut dirakam kamera litar tertutup pusat membeli-belah.

“Maklumat awal yang kita perolehi ialah lima lagi mangsa masih terperangkap di dalam timbunan dinding tersebut, tetapi hasil pencarian kita berjaya menemui enam mangsa dan tiga daripadanya telah meninggal dunia.

“Manakala, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan parah dan seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman.

Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan pada malam semalam dengan bantuan unit anjing pengesan pasukan bomba.

Operasi telah ditamatkan setelah tiada lagi mangsa yang dipercayai tertimbus disebalik serpihan struktur bangunan.

Pihak pengurusan CityONE Megamall sementara itu telah mengeluarkan notis penutupan sementara pusat membeli-belah. Pengumuman tersebut dibuat melalui akaun media sosial rasmi pihak pengurusan pusat membeli-belah.

 

Related Articles

Leave a Reply