KUALA LUMPUR, 5 Dis – Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan menyatakan pengurusan ruang udara tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kedaulatan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semalam selepas Malaysia memberikan isyarat untuk menuntut semula hak pengurusan ruang udara di selatan Johor.
Menurut Khaw yang dipetik oleh Strait Times berkata, pengurusan ruang udara selatan Johor telah diserahkan kepada Singapura melalui satu perjanjian pada tahun 1973 dan diluluskan oleh Badan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Hantar nota bantahan”
Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada kerajaan Singapura susulan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) Lapangan Terbang Seletar yang disiarkan secara tanpa kebenaran mulai 1 Disember lalu..
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mendedahkan bahawa Singapura bagaimanapun tetap menyiarkan tatacara berkenaan yang akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 3 Januari depan.
Katanya, ketetapan kerajaan itu sudah dimaklumkan kepada Singapura pada 28 dan 29 November lalu bagi menjamin kedaulatan ruang udara negara, sekali gus memastikan pembangunan sekitar Pasir Gudang tidak tergugat.
Beliau menambah, penyiaran berkenaan adalah bertentangan dengan hak kedaulatan negara dan nota bantahan akan dikeluarkan serta-merta bagi menjaga pengurusan ruang udara Malaysia.
Loke berkata, kerajaan akan melaksanakan rancangan pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023.
“Kita akan ambil secara berperingkat bagi menyelaraskan tatacara perkhidmatan kawalan trafik udara antara pihak penyedia perkhidmatan pengemudian udara di kedua-dua negara demi menjamin pergerakan pesawat yang selamat, cekap dan teratur.
“Kita akan berbincang dengan Singapura dengan lebih terperinci berhubung isu ini dan merujuk kepada ICAO jika perlu,” katanya.