Home Politik Burukkan negara: Pemuda UMNO desak P. Waytha Moorthy letak jawatan

Burukkan negara: Pemuda UMNO desak P. Waytha Moorthy letak jawatan

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 18 Nov – Pemuda Umno mendesak P. Waytha Moorthy meletakkan dan melepaskan jawatan beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga portfolio Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata selaku pemimpin utama pertubuhan radikal Hindraf, Moorthy pernah memburukkan negara ke negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah dan menggambarkan seolah-olah Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi.

Katanya sehingga kini Moorthy tidak pernah menarik balik kenyataan dan tohmahan jahat yang dilakukan sebagaimana yang ditularkan melalui video berdurasi 2 minit 39 saat itu.

“Pemuda UMNO mendesak beliau (Moorthy) untuk melepaskan dan meletakkan jawatan selaku menteri secara terhormat dan bermaruah atas kegagalan menguruskan isu perkauman, keagamaan dan perpaduan dengan bijak.

“Malah imej radikal beliau ketika memimpin Hindraf hanya akan mengundang krisis keyakinan rakyat terhadap masa depan keharmonian negara berbilang agama dan kaum di negara ini.

“Selain itu beliau juga perlu menarik balik segala kenyataan fitnah dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas pengkhianatan beliau memburuk-burukkan negara di mata negara luar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Asyraf Wajdi menambah, lebih mendukacitakan apabila sejak menjadi menteri yang sepatutnya mempromosi perpaduan kaum dan pelbagai agama, beliau lebih cenderung untuk membangkitkan isu-isu yang mampu mencetus gelodak kemarahan rakyat dan membangkitkan api permusuhan di antara kaum.

”Terbaru inisiatif dan kesungguhan beliau untuk mengheret negara untuk meratifikasi dan mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) hanya menzahirkan kesombongan dan keangkuhan beliau.

“Sungguhpun Kerajaan sedar bahawa majoriti rakyat melihatnya sebagai suatu yang mencabar hak keistimewaan Melayu dan bumiputeta serta kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang sememangnya isu yang amat sensitif,” katanya lagi.

Related Articles

Leave a Reply