Menurut media Indonesia, mangsa, Syachrul Anto, 48, seorang penyelam dari Indonesia Diving Rescue Team, dikejarkan ke Hospital Koja, Jakarta pukul 10 semalam kerana tidak sedarkan diri selepas me­lakukan selaman di perairan Tanjung Karawang.

Agensi berita Antara yang memetik seorang pegawai tentera Indonesia, Kolonel Isswarto berkata, mangsa yang berasal dari Surabaya dan penyelam berpengalaman serta sering me­nyertai misi penyelamatan disahkan meninggal dunia 10.30 malam tadi di hospital ber­kenaan.

Pegawai Perhubungan Ma­syarakat Badan Nasional Penca­rian dan Pertolongan Indonesia (Basarnas), Yusuf Latief ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun berkata Basarnas masih menyiasat secara terperinci kes berkenaan.

Sementara itu Basarnas da­lam kenyataannya berkata, setakat tengah semalam, sebanyak 73 kantung atau bungkusan be­risi cebisan dan anggota jenazah telah dihantar ke Rumah Sakit Polis Indonesia, untuk proses mengenal pasti identiti menggunakan kaedah ujian profil asid deoksiribonukleik (DNA).

Tiga lagi jenazah berjaya dikenal pasti semalam sebelum diserahkan kepada keluarga ba­gi urusan pengkebumian iaitu Chandra Kirana, 29, Hizkia Jorry Saroinsong, 23, dan Monni, 41 tahun.

Identiti pertama korban dikenal pasti pada 31 Okt lalu iaitu Jannatun Cintya Dewi, berusia 24 tahun, berasal dari Kacamatan Jawa Timur.

Khamis lalu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan perakam data penerbangan (FDR) pesawat Lion Air yang terhempas pada Isnin lepas di perairan Tanjung Karawang, dan pencarian kini menjurus kepada sebahagian lagi kotak hitam pesawat itu ia­itu perakam suara penerbangan (CVR).

Penerbangan Lion Air JT610, yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal, terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi Isnin lalu. – Bernama