Home Semasa 12 cedera selepas jeti Pulau Tikus Langkawi runtuh

12 cedera selepas jeti Pulau Tikus Langkawi runtuh

by Nurulhuda

LANGKAWI, 30 Okt – Seorang pelajar universiti cedera parah di bahagian pinggang, sementara 11 orang lagi mengalami kecederaan ringan selepas sebuah jeti dilalui mereka di Pulau Tikus dekat sini runtuh pada Isnin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang menerima laporan itu pukul 1.53 tengah hari memaklumkan, kumpulan mangsa terbabit berjalan di atas jeti yang tiba-tiba runtuh itu di pulau yang terletak kira-kira lima batu nautika (9km) dari Jeti Kampung Kilim, di sini.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Langkawi, Zamzuri Hasan yang mengetuai lapan petugas ke tempat kejadian berkata, pelajar-pelajar yang cedera itu telah dibawa ke Jeti Kampung Kilim sebelum dirujuk ke Hospital Daerah Langkawi untuk rawatan lanjut.

Maklumat awal yang diperoleh menyatakan kesemua mangsa adalah sebahagian daripada sekumpulan 40 orang pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan yang pergi melawat pulau itu yang merupakan sebahagian daripada tarikan pelancongan di Kilim Karst Geoforest Park di sini.

Beberapa buah bot pelancong turut digunakan untuk membawa balik baki jumlah pelajar itu ke Jeti Kilim. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply