Home Semasa Polis nafi cuba selindung kes seksual libat anggota parlimen di Perlis

Polis nafi cuba selindung kes seksual libat anggota parlimen di Perlis

by Air Times News Network

KANGAR, 29 Okt – Polis menafikan dakwaan berlakunya cubaan menutup atau ‘cover up’ kes seksual melibatkan seorang anggota Parlimen di Perlis, sebaliknya siasatan dijalankan secara sulit mengikut prosedur ditetapkan kerana kes membabitkan mangsa bawah umur.

Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata pihaknya tidak sama sekali bertindak berat sebelah kerana suspek seorang VVIP dan menegaskan mana-mana individu yang terlibat jenayah akan tetap dibawa ke muka pengadilan.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan selesai sahaja siasatan kita akan serahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (Mywatch) Datuk R Sri Sanjeevan menerusi akaun Twitternya yang mempertikaikan mengapa anggota Parlimen terbabit, yang juga merupakan seorang bekas menteri, sehingga kini masih belum ditangkap sedangkan laporan polis sudah dibuat mangsa.

Difahamkan, satu laporan polis dibuat baru-baru ini yang mendakwa mangsa berusia 15 tahun dicabul oleh anggota Parlimen berkenaan, namun laporan itu ditarik balik keluarga mangsa.

Noor Mushar berkata walaupun keluarga mangsa dikatakan menarik balik laporan, siasatan tetap diteruskan dan sebarang urusan antara keluarga mangsa dengan suspek tiada kaitan dengan pihak polis.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak campur tangan dalam urusan polis di samping memberi amaran kepada mereka agar membiarkan kes disiasat polis mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Saya juga mahu beri amaran khusus kepada Sanjeevan, jangan campur tangan dalam siasatan polis, jangan buat benda tidak elok dengan menuduh pihak polis tidak buat kerja,” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply