Home Semasa Generasi muda perlu pertahan keamanan, kestabilan negara

Generasi muda perlu pertahan keamanan, kestabilan negara

by Air Times News Network

KUCHING, 1 Sep – Masyarakat terutama generasi muda perlu mengekalkan keamanan dan kestabilan yang dikecapi kini untuk nikmat kemerdekaan sebenar.

Pesara tentera, Eaton Ngipa, 40-an, yang menghubungi Utusan Borneo berkata, generasi muda yang juga dikenali Gen Y hari ini cukup bertuah kerana sejak lahir sudah menikmati kemakmuran, kestabilan dan tiada huru-hara berbanding zaman beliau dan sebelum itu.

“Ketika zaman kami, semuanya tidak menentu dan nyawa sentiasa diancam bahaya bukan sahaja ketika era penjajah British dan kemudian Jepun malah ancaman komunis dan insiden pencerobohan tentera Indonesia.

“Anak-anak muda harus ingat bahawa kemerdekaan yang dikecapi kini bukan diwarisi sejak berzaman sebaliknya terbina dari deraian air mata anak isteri dan ibu bapa yang kehilangan insan tersayang serta titisan darah pejuang yang gugur.

“Maka itu, mahu atau tidak anda perlu mempertahankan keamanan yang dikecapi kerana untuk meruntuhkan sebuah negara mengambil masa tidak sampai satu hari sebaliknya untuk membina sebuah negara merdeka dan berdaulat memakan tempoh masa yang cukup lama dan memeritkan,” tegasnya.

Eaton bersara wajib pada 2011 selepas berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia selama 21 tahun dengan markas terakhir di Markas Divisyen Pertama Infantry Malaysia, Cawangan Kuching.

Beliau yang masih cergas pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2005 dan 2009 dan pernah berkhidmat dalam 3 Kor iaitu Rejimen Gerak Khas Diraja (Komando), Rejimen Infrantri Renjer Diraja (RRD) dan Kor Perkhidmatan AM (KPA Gaji dan Elaun).

Tambah Pegawai Waran 1 itu lagi, beliau mahu anak-anak muda menceburi profesion ketenteraan kerana ia kelak menjadikan mereka seorang rakyat Malaysia yang berguna untuk negara, bangsa dan agama.

Bercakap lanjut, beliau tanpa berselindung menyuarakan sedikit rasa terkilan kerana generasi hari ini seolah-olah lupa erti kemerdekaan sebenar dan menganggap Hari Kemerdekaan sebagai satu perayaan sahaja.

“Kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah digapai… justeru saya mengajak rakyat tanpa mengira bangsa dan agama serta asal usul untuk mensyukuri nikmati kemerdekaan kerana anda lahir ketika negara sudah lama dewasa dan merdeka,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply