Home Politik UMNO,PAS tidak perlu bergabung – Zuhdi

UMNO,PAS tidak perlu bergabung – Zuhdi

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 22 Jul – Pengarah Penyelidikan Pas Pusat, Zuhdi Marzuki berpendapat Umno dan Pas tidak perlu bergabung menjadi satu parti sebaliknya perlu menjadi pembangkang yang memainkan peranan untuk semak dan imbang.

Memetik laporan portal Astro Awani, beliau berkata di Kelantan dan Terengganu, Pas membentuk kerajaan manakala Umno pula adalah pembangkang untuk dua negeri tersebut.

“Kalau bergabung tidak ada parti yang akan main peranan sebagai pembangkang untuk semak dan imbang di sidang Dewan Undangan Negeri,” katanya dalam satu forum bertajuk “Masa Depan Islam Di Bawah Pakatan Harapan” malam tadi.

Forum tersebut turut menampilkan Exco Kerajaan Perak, Aziz Bari; Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Zuhdi ketika mengulas mengenai masa depan Islam berkata perkara tersebut merentasi parti politik dan semua pihak perlu bekerjasama demi kepentingan agenda Islam.

Sementara itu, Aziz Bari pula menegaskan masa depan Islam bergantung kepada orang Islam sendiri.

Beliau menjelaskan PH mempunyai satu tawaran yang besar kepada Islam seperti keluhuran undang-undang dan lain-lain lagi.

“PH menawarkan satu tawaran yang besar kepada Islam seperti keluhuran undang-undang, membanteras rasuah dan lain-lain lagi,” katanya.

Manakala Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi pula meminta semua pihak agar berlaku adil kepada PH yang baru membentuk kerajaan dalam tempoh dua bulan.

Beliau juga berharap apa yang telah dilaksanakan oleh BN sebelum ini seperti peruntukan yang besar untuk kemajuan Islam dapat diteruskan oleh PH.

“Kita kena berlaku adil kepada PH kerana mereka baru saja membentuk kerajaan dalam dua bulan dan tidak boleh terus nak menyalahkan mereka.

“Saya harap PH dapat meneruskan apa yang telah dilakukan oleh BN sebelum ini seperti peruntukan yang besar untuk Jakim dan sebagainya dapat diteruskan,” katanya.

Namun ketika menyentuh isu LGBT, Asyraf berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat menyatakan pendirian tegas mereka sama ada mengiktiraf golongan tersebut atau sebaliknya.

Ahmad Awang pula berkata, PH yang membentuk kerajaan selepas PRU14 tidak akan memperalatkan Islam untuk kepentingan parti.

Katanya, PH akan memastikan Islam terus diperkasakan dan benar-benar menjadi agama yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!