Home PolitikPakatan Harapan Mohd Zawawi calon PKR di PRK Sungai Kandis

Mohd Zawawi calon PKR di PRK Sungai Kandis

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 20 Jul – Mohd Zawawi Ahmad Mughni dinamakan sebagai calon yang dipertaruhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis akan datang.

Pemilihan Mohd Zawawi itu diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Majlis Pelancaran Jentera PKR di Padang Rakyat, Jalan Kebun di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Zawawi, 48 tahun, beliau bersyukur dengan mandat yang diberikan untuk meneruskan perjuangan Pakatan Harapan di DUN N.49, Sungai Kandis.

“Saya akan meneruskan perjuangan Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie untuk memastikan infrastruktur di sini terbela,” katanya ketika ditemui pemberita selepas namanya diumumkan sebagai calon PKR bagi PRK DUN tersebut.

“Saya pernah bekerja rapat dengan beliau dan saya yakin penduduk di sini memerlukan pembelaan dan saya akan cuba menjadi pemimpin yang lebih baik,” katanya yang juga merupakan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yakin dengan pencalonan Mohd Zawawi bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

Mohd Zawawi juga merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat serta AJK Biro Pendidikan PKR Pusat.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi daripada PKR, meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon.

Related Articles

Leave a Reply