Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, eksesais maritim terbesar anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat di Hawaii sejak 1971 itu memberi peluang kepada anggota TLDM untuk  mempelajari kemahiran dan sistem-sistem kapal bersama pasukan maritim negara-negara lain.

“Setakat ini, saya bukan sahaja berpuas hati malah gembira dengan penglibatan anggota dan pegawai kita di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Panglima TLDM, Laksamana Madya, Datuk Mohd. Reza Mohd. Sany yang menggantikan Laksamana Muda Datuk Khairuddin Khalid yang memangku jawatan itu sebelum ini di KD Sri Gombak, di sini hari ini.

Seramai 150 pegawai dan anggota KD Lekiu mula belayar ke Hawaii pada 25 Mei lalu untuk menyertai eksesais itu bermula 27 Jun hingga 2 Ogos. Eksesais itu melibatkan 27 negara termasuk Kanada, Australia, Vietnam dan tuan rumah Amerika Syarikat.

Eksesais maritim itu menyaksikan kehadiran 52 kapal, lima kapal selam, 29 pesawat rondaan maritim, 200 pesawat pejuang dan helikopter dengan penyertaan lebih 25,000 anggota.