KULAI, 4 Jul – Seorang anggota tentera yang menunggang motosikal cedera di muka dan tangan akibat terjatuh selepas disergah seorang lelaki dalam kejadian samun di Kilometer 52.5 Lebuhraya E22, Senai-Desaru di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 6.15 pagi, lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dari rumahnya di Bandar Putra, Kulai.
Difahamkan, mangsa disamun suspek yang disyaki warga Indonesia kira-kira 700 meter selepas melalui Plaza Tol Senai, yang turut melarikan motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Kulai Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa memaklumkan ketika melepasi Plaza Tol Senai, dia ternampak seorang lelaki sedang duduk di atas tembok pembahagi jalan.
“Secara tiba-tiba lelaki itu terus menerjah ke arah mangsa menyebabkannya terkejut lalu memberhentikan motosikal secara mengejut untuk mengelak suspek.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa terbabas dan jatuh di bahu jalan. Suspek bertindak mengambil serta melarikan motosikal mangsa menghala ke arah Senai secara menentang arus,” katanya.
Menurutnya, mangsa kerugian kira-kira RM6,000 selepas motosikal Yamaha 135 LC miliknya dilarikan selain hilang geran asal kereta milik isterinya yang diletakkan di dalam bakul motosikal itu.
Katanya, mangsa mengesyaki suspek adalah warga Indonesia kerana ketika kejadian, suspek ada berkata kepada mangsa ‘Ya Allah, abang jatuh’.
“Menurut mangsa, dia dapat mengecam suara suspek itu mirip warga Indonesia. Mangsa tidak cam muka suspek kerana keadaan gelap dan hanya ingat suspek berpakaian baju kemeja warna coklat dan berbadan kurus,” katanya.
Menurutnya, hasil penelitian di tempat kejadian mendapati lokasi itu berhampiran kawasan hutan dan terdapat pagar yang berlubang disyaki tempat suspek menceroboh masuk ke dalam kawasan lebuh raya.
Katanya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga mendatangkan kecederaan.