KUALA LUMPUR, 31 OKT – Siasatan dalaman berkaitan kes kematian pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) masih dijalankan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, TDM memandang serius setiap pelaksanaan latihan dan akan melihat semula keperluan serta kesesuaian berdasarkan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurutnya, pemergian Pegawai Muda dari Kor Risik Diraja (KRD) Allahyarham Emil Syahid Iskandar merupakan satu kehilangan besar namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak meneruskan latihan.
“Daripada segi perubatan secara umumnya mereka (pegawai) didiagnos sebagai strok haba, namun PULADA di bawah kelolaan Markas Pemeritahan Latihan TD sedang membuat siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian,
“TDM memandang serius setiap bentuk latihan atau kursus yang dijalankan di semua pusat latihan TDM. Walaubagaimanapun, dengan keadaan cuaca yang berubah dan mengalami jeberu dan sebagainya,
“TD akan melihat semula keperluan untuk mengkaji balik pelaksanaan latihan, walaupun langkah-langkah pencegahan seperti mengadakan ‘water prade’ dan pegawai diberi peluang ‘rehydrate’ ketika latihan,” katanya selepas Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.
Katanya, Kurus Ketua Platun ini adalah satu kursus asas bagi seorang pegawai Tentera Darat dan segala latihan mencabar mental serta fizikal penuntut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati tiada unsur khianat berhubung insiden kematian itu berikutan kejadian membabitkan beberapa mangsa yang mengalami strok haba sekali gus.
Tegasnya, setiap latihan dijalankan di PULADA perlu mematuhi garis panduan khusus yang sudah ditetapkan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
“Kita punya latihan pun ada OSH (Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan), kita tekankan perkara itu, nak menembak pun kita pakai penutup telinga dan sebagainya,
“Dari segi latihan memang ikut SOP (prosedur operasi standard), ia (latihan) untuk memantapkan fizikal pegawai berkenaan. Kita akan lebih berhati-hati pada masa akan datang, bukan sahaja di PULADA malah di pusat latihan di seluruh negara,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, media melaporkan, seramai 10 penuntut yang menjalani Kursus Tempur Pegawai Muda di lapang sasar kem PULADA Kota Tinggi, dipercayai mengalami simptom strok haba dengan 3 daripadanya diberikan rawatan rapi di hospital.
Seorang Pegawai Muda dari Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital dipercayai mengalami simptom strok haba.
Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24, disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bharu pada 14 Oktober 23.
Difahamkan, Allahyarham mengalami pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat Siri 3/2023 di kem berkenaan.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, Rawang, Selangor, pada 15 Oktober lalu. -airtimes.my
#TDM #Maut #pegawai #airtimes #pertahanan