Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Dodol sekuali tak menjadi, petanda anak hendak pergi

Dodol sekuali tak menjadi, petanda anak hendak pergi

by Nurulhuda

KUALA KETIL, 27 Jun – “Syawal kali ini paling berbeza, banyak perkara saya lakukan tidak menjadi termasuk terpaksa membuang sekuali dodol yang hangus,” kata bapa kepada anggota tentera yang maut akibat dihempap pokok, Abd Manaff Abdullah, 67.

Dalam kejadian malam Ahad lalu, Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaff, 32, bersama rakannya, Lans Koperal Mohamad Safuan Hassan, 30, maut ketika melakukan operasi rondaan di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Tasik Banding, Perak.

Abd Manaff berkata, kali terakhir beliau dan isterinya, Mariam Lazim, 65, bertemu anaknya itu adalah kira-kira empat bulan lalu sebelum dia pulang bertugas di 8 Rejimen Renjer Diraja (RRD) (PARA) Melaka.

Katanya, anaknya tidak menunjukkan sebarang sikap pelik sepanjang cuti seminggu, cuma dia menangis apabila bersalaman dengan ibunya ketika hendak pulang.

“Saya anggap itu (menangis) biasa kerana dia mungkin sedih kerana tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri berikutan terbabit dalam operasi tentera.

“Bagaimanapun hati saya menjadi resah sepanjang Ramadan lalu, sehingga dodol yang saya hasilkan tiga hari sebelum Aidilfitri tidak menjadi dan terpaksa dibuang begitu sahaja,” katanya yang terkenal mahir menghasilkan juadah itu dalam kalangan penduduk tempatan di sini.

Jenazah Fahrurozi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Kuala Merah, kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Majlis turut dihadiri Panglima Dua Divisyen, Mej Jen Datuk Mohd Ramli Jaafar dn Panglima Dua Briged, Brig Jen Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Abd Manaff berkata, walaupun sedih, keluarganya reda dengan pemergian anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu.

Arwah meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Related Articles

Leave a Reply