MYANMAR, 27 Jun – Tentera Myanmar mengumumkan telah memecat seorang pemerintah tentera yang didakwa terbabit dalam pembunuhan dan keganasan seksual ke atas etnik Rohingya.
Jeneral Maung Maung Soe sebelum ini didakwa memainkan peranan penting dalam pencabulan hak asasi ke atas etnik Muslim Rohingya, yang memaksa lebih 700,000 penduduk wilayah Rakhine itu melarikan diri ke Bangladesh.
Susulan itu, tentera Myanmar dikritik hebat kerana gagal mengambil tindakan ke atas Maung Soe serta beberapa pegawai tinggi lain di atas tindakan kejam mereka terhadap etnik Rohingya.
Bagaimanapun tentera menerusi pengumuman di Facebook berkata, Maung Soe yang bertindak sebagai pemerintah kanan di Rakhine dipecat kerana prestasi buruk.
Pengumuman itu dibuat selepas Kesatuan Eropah (EU) menamakan Maung Soe antara tujuh pegawai kanan tentera yang dikenakan sekatan.
Kanada dan Amerika Syarikat (AS) terlebih dahulu mengumumkan sekatan ke atas Maung Soe.
Sekatan mencakupi pembekuan aset yang mungkin dimiliki pegawai kanan tentera itu di Kanada dan AS, selain larangan berurusan dengan beliau.
Sejumlah besar pendatang Rohingya kini mencari perlindungan di kem pelarian di Bangladesh sejak operasi ketenteraan dilancarkan kerajaan Myanmar pada Ogos 2017.