Home Semasa Nilai rampasan cecah 1.1 bilion – Datuk Amar Singh

Nilai rampasan cecah 1.1 bilion – Datuk Amar Singh

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR. 27 Jun – Hasil pengiraan ke atas beg berjenama, barang kemas dan wang tunai yang dirampas daripada 6 premis berkaitan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, bulan lalu berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata ia termasuk 567 beg tangan daripada 37 jenama yang berjumlah RM51.3 juta dengan salah satu beg tangan buatan khas berjenama Bijan berharga RM1.6 juta.

Beliau berkata, wang tunai dalam 26 jenis mata wang yang ditemui dalam 35 beg dan rumah Najib di Taman Duta berjumlah RM116.7 juta.

“Ia memakan masa 3 hari untuk mengira wang itu dengan bantuan 22 pegawai Bank Negara yang menggunakan 6 mesin pengiraan wang,” katanya dalam sidang media di pejabat JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, hari ini.

Katanya, sebanyak 12,000 ‘item’ barang kemas terdiri daripada subang, gelang tangan, kerongsang, tiara, rantai dan cincin yang ditemui dalam 25 beg berjumlah RM440 juta untuk kos berlian dan emas sahaja.

“Ia termasuk seutas rantai emas berjumlah RM6.4 juta.”

Amar Singh berkata, nilai itu tidak termasuk kos untuk mereka bentuk dan hasil pertukangan di mana harga pasaran boleh mencecah 50% hingga 100% daripada harga kos dan ini bermakna harga sebenar mungkin berjumlah RM660 hingga RM880 juta.

“Sebanyak 423 utas jam tangan lebih 100 jenama berjumlah RM78 juta turut dirampas.

“Sebanyak 234 cermin mata berjumlah RM374,000.”

Amar Singh berkata, 8 pasukan khas yang terdiri daripada pakar dan 150 anggota polis ditubuhkan untuk membantu penganalisis ke atas barang rampasan itu dari 21 Mei hingga 21 Jun lalu.

“Ramai yang tanya kenapa ambil masa lama, sebab angka (nilai) terlalu besar.”

Katanya, serbuan itu dijalankan ke atas pejabat dan kediaman rasmi Najib di Putrajaya, 3 kondominium mewah di Kuala Lumpur dan kediaman peribadi Najib di Taman Duta pada 16 dan 17 Mei lalu.

Related Articles

Leave a Reply