Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Mohamad ucap takziah tentera terlibat insiden dihempap pokok

Mohamad ucap takziah tentera terlibat insiden dihempap pokok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua anggota Tentera Darat yang meninggal dunia akibat dihempap pokok ketika menjalankan operasi di Hutan Belum, Gerik, Perak, pada Isnin.

Mohamad dalam satu kenyataan berkata, beliau dan seluruh warga Kementerian Pertahanan berharap keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Safuan Hassan dan Allahyarham Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf dapat menerima dugaan itu dengan tabah.

“Saya selaku Menteri Pertahanan dan seluruh warga Kementerian Pertahanan ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua anggota dan berharap pihak keluarga dapat menerima dugaan ini dengan tabah dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Saya juga mendoakan supaya anggota yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik diberi kesembuhan seperti sedia kala,” kata beliau.

Mohamad juga mengarahkan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin untuk memberikan segala bantuan yang sepatutnya kepada keluarga kedua-dua anggota berkenaan.

Dalam kejadian jam 10.40 malam Isnin lalu itu, Mohamad Safuan, 30, berasal dari Raub, Pahang dan Fahrurozi, 32, dari Kuala Ketil, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap pokok ketika menjalani operasi kawalan sempadan.

Related Articles

Leave a Reply