R. Kunaseegaran selepas dijatuhkan hukuman atas dua kesalahan rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, kelmarin.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas doktor pakar berusia 55 tahun itu gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir kes pembe­laan.

Gagal membayar denda, hukuman penjara terhadap tertuduh boleh ditambah lagi dua tahun bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa me­minta rasuah sebanyak RM700,000 dari­pada Abdul Razar Abdullah, 48, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan te­lefon milik tertuduh pada pukul 11.58 pagi, 29 Ogos 2013.

Wang suapan itu didakwa sebagai upah kerana telah mencadang­kan RAZ Medical Supplies Sdn. Bhd., B&S Enterprise dan Caramed Global Sdn. Bhd. untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tahun 2013.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh sebagai ejen kerajaan didakwa bersetuju menerima wang tunai RM700,000 daripada Abdul Razar sebagai upah kerana melakukan perkara sama, di hadapan Empire Shopping Gallery Su­bang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 5.15 petang, 3 September 2013.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Kunaseegaran kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bersama lima lagi individu atas tuduhan membunuh Datuk Anthony Kevin Morais yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul, ke Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015.