PUTRAJAYA, 18 DIS – Kerajaan mengesahkan telah menerima dua warganegara, Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, yang diserah oleh Amerika Syarikat (AS) selepas ditahan di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba sejak 2006.
Kedua-dua mereka ditahan atas tuduhan terlibat dalam pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa serta sokongan kepada kumpulan pengganas, Jemaah Islamiyah (JI).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan, penerimaan dua warganegara Malaysia ini dilaksanakan atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.
“Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat telah menerima dua orang warganegara Malaysia, dan Mohammed Nazir bin Lep, yang diserah oleh Kerajaan Amerika Syarikat selepas ditahan sejak tahun 2006 di Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba,” katanya dalam satu kenyataan bertulis pada Rabu.
Mengulas lanjut, kerajaan Malaysia menegaskan, satu program reintegrasi yang komprehensif merangkumi perkhidmatan sokongan psikososial, kebajikan, serta saringan kesihatan akan dilaksanakan kepada kedua-dua individu.
Program ini bertujuan memastikan mereka dapat menjalani proses pemulihan dan penyesuaian semula dalam masyarakat secara selamat dan produktif.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua warganegara Malaysia ini.
“Kerajaan Madani akan memastikan kebajikan mereka berdua dijaga dengan baik melalui program integrasi yang komprehensif termasuk saringan kesihatan,” tambahnya dalam kenyataan berasingan.
Penyerahan ini akan menjadi titik permulaan bagi proses pemulihan dan reintegrasi yang bakal membawa kedua-dua individu ini kembali ke pangkuan keluarga dengan harapan mereka dapat menyumbang ke arah kesejahteraan negara.
Untuk rekod, kedua-dua rakyat Malaysia ini sudah ditahan di Thailand pada tahun 2003 dan dipindahkan ke Kem Tahanan Guantanamo Bay, Cuba pada 2006.
Mereka didakwa atas tuduhan bertanggungjawab dalam pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa, dengan sebahagian besarnya ialah warga Australia.
Walau bagaimanapun, sehingga 2021, kedua-dua individu ini tidak pernah menghadapi perbicaraan rasmi di Mahkamah Perang kerana kekurangan bukti yang kukuh.
Manakala, pada penghujung Januari 2024 di bawah ‘plea bargain’ atau tawaran terhadap pengakuan bersalah, kedua-duanya mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo. -airtimes.my
#KDN #Penjara #Malaysia #AirTimes