Home Politik Tun M sah PM ke-7 Malaysia

Tun M sah PM ke-7 Malaysia

by Noor Sheila Amin

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 di hadapan Yang di Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Balai Rong Seri, Istana Negara, di sini, jam 9.56 malam ini.

Dr Mahathir, 92, yang diiringi Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, mencatat sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua selepas memegang jawatan yang sama pada 16 Julai 1981 untuk tempoh 22 tahun.

Sultan Muhammad V memberi perkenan selaras dengan Fasal (2) (a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan supaya Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir dikurniakan surat cara perlantikan oleh Sultan Muhammad V, sebelum mengangkat sumpah jawatan dan setia serta menyimpan rahsia.

Turut hadir Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 semalam, Pakatan Harapan memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

Related Articles

Leave a Reply