Home Politik PRU14: Melaka hantar notis bubar DUN esok

PRU14: Melaka hantar notis bubar DUN esok

by M.Daim

MELAKA, 6 Apr – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubar esok serentak dengan pengumuman pembubaran di Parlimen, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, pembubaran DUN Melaka itu dibuat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ia dibuat selepas saya bertemu dengan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob bagi menyampaikan surat rasmi dari Pejabat Perdana Menteri berhubung pembubaran DUN Melaka.

“Pengisytiharan pembubaran akan dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Melaka untuk tindakan selanjutnya pada jam 9.30 pagi esok di Seri Bendahara,”

Datuk Seri Idris Harun

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Seri Negeri, di Ayer Keroh, hari ini.

Pembubaran DUN Melaka adalah mengikut peruntukan Di Bawah Perkara 19(2) Perlembangaan Negeri Melaka.

Turut hadir, Speaker DUN Datuk Wira Othman Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim dan barisan Exco dan timbalan kerajaan negeri.

Terdahulu, Idris mengadakan pertemuan selama kira-kira 40 minit dengan Mohd Khalil di pejabat Yang di-Pertua Negeri di Seri Negeri.

Tengah hari tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Parlimen dibubarkan esok selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU-14.

Pada PRU-13 lalu, DUN Melaka mempunyai sebanyak 28 kerusi, dengan BN menguasai sebanyak 21 kerusi DUN, manakala DAP (3), Bebas (3) dan PAS (1).

Idris yang juga ADUN Sungai Udang mula mengambil alih kepemimpinan negeri daripada penyandangnya, Tan Sri Mohd Ali Rustam selepas mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada 7 Mei 2013.

Dalam pada itu, Idris berkata, BN Melaka akan melancarkan manifesto baharu bagi menghadapi PRU-14 di Dataran Keris, Alor Gajah pada 13 April ini yang bertemakan ‘Bersama Mencipta Kegemilangan’.

Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Related Articles

Leave a Reply