Home PolitikPakatan Harapan SAH! Mahfuz dan Rosli sertai AMANAH

SAH! Mahfuz dan Rosli sertai AMANAH

by M.Daim

Kuala Lumpur, 15 Mac – Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar dan Bekas Pengarah Urusan harakah, Dr Rosli Yaakop hari ini mengesahkan penyertaan mereka ke Parti Amanah Negara.Kedua-dua tokoh PAS tersebut telah menandatangani borang keahlian Parti Amanah Negara di Bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar menyerahkan Borang Keahlian Parti kepada Presiden Amanah, Mat Sabu.

Dato’ Mahfuz Omar pernah dilantik menjadi Naib Presiden PAS. Setelah lebih 34 tahun berada dalam PAS, beliau telah mengumumkan bahawa beliau keluar dari parti itu pada 31 Disember 2017.

Ditanya mengenai pilihan beliau untuk menyertai Parti Amanah, beliau menyatakan Tun Mahathir pernah memberitahu bahawa AMANAH merupakan parti yang paling banyak berkorban untuk Pakatan harapan dalam isu pengagihan kerusi pilihanraya dan beliau berasa berbangga untuk menyertai parti yang banyak berkorban demi perjuangan.

 

“PAS masih mempunyai kekuatan sebagai organisasi Islam. Dari sudut kuasa dan politik, PAS bukan lagi persaingan.”

Dato’ Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena

 

 

Beliau mendakwa, ramai ahli PAS telah keluar dan menyertai Amanah, PKR, PPBM dan DAP. Pada masa yang sama, beliau mengharapkan ahli PAS yang mengambil pendekatan tawaqquf (mendiamkan diri) kepada parti untuk keluar mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya kelak.”

Mahfuz menyatakan bahawa beliau berasa lega setelah keluar dari parti PAS dan tidak lagi menanggung beban untuk dianggap sebagai tongkat kepada UMNO/BN.

Dr Rosli, bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia dan bekas Pengarah Urusan Harakah turut mengambil langkah bersama dengan Dato’ Mahfuz Omar untuk sertai AMANAH.

Menurut beliau, penyertaan ke AMANAH didorong oleh keyakinan beliau kepada parti itu.

 

“Amanah dia tak bersendirian. Dia bergabung dengan parti-parti lain dalam satu gabungan yang besar”

Dr Rosli Yaakop

 

 

“Jika hendak tumbangkan UMNO dan BN, parti-parti pembangkang perlu bergabung di bawah satu gabungan yang besar dan kuat. Insya Allah, kita ada kemungkinan dan kebarangkalian untuk menang PRU-14,” kata Dr Rosli semasa sidang media.

Menyentuh tentang pendekatan PAS yang disifatkan secara bersendirian, Dr Rosli menyatakan, jika parti itu menang sekali pun di Semenanjung Malaysia, PAS tidak akan mungkin dapat memerintah Malaysia melainkan mereka bergabung dengan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak.

Presiden Amanah, Mat Sabu, mengalu-alukan kehadiran kedua-dua ahli Amanah baharu. Turut hadir ke majlis adalah Teresa Kok, Nurul Izzah, Sallahuddin Ayub dan Rafizi Ramli.

Penyertaan Dato’ Mahfuz Omar ke Amanah turut diikuti oleh isteri beliau, Datin Ruswati Jaafar, dan kedua-dua orang perempuan beliau.

Related Articles

Leave a Reply