Home SemasaGlobal Erdogan arah tentera kepung Afrin

Erdogan arah tentera kepung Afrin

by Noor Sheila Amin

Beirut, 15 Mac – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengatakan beliau berharap tenteranya mengepung sepenuhnya Afrin menjelang hari ini, pertempuran sengit berlaku di wilayah itu dengan bedilan artileri kumpulan pro kerajaan Syria serta serangan udara Turki.

AFP melaporkan, pesawat penggempur Turki menyerang pos kawalan milik kumpulan bersenjata pro kerajaan Syria menyebabkan 10 terbunuh.

Menurut pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain, serangan udara itu mensasarkan pusat pemeriksaan berdekatan penempatan Kurdish di Afrin yang mengawal satu-satunya laluan ke Afrin dari selatan.

Turki dengan sokongan kumpulan bersenjata anti-kerajaan Syria melancarkan serangan terhadap Unit Pelindung Rakyat Kurdish (YPG) yang menguasai Afrin sejak 20 Januari lalu.

Bandar dihuni 350,000 orang itu terletak berhampiran sempadan Turki.

Sementara itu, menurut Reuters, artileri tentera pro Syria membedil kedudukan tentera Turki bagi membalas serangan udara itu.

Kumpulan bersenjata Syiah menggunakan meriam bagi mensasar kedudukan tentera Turki di bandar Marea, utara Aleppo.

Jurucakap YPG, Nouri Mahmoud, berkata kenyataan Ankara bahawa Afrin akan dikepung sepenuhnya menjelang hari ini, tidak realistik.

“Erdogan menipu rakyatnya,” katanya yang turut menafikan kenyataan Turki bahawa penduduk awam dipindahkan dari Afrin. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply