Home Pertahanan dan Keselamatan Pangkalan Udara Kuala Lumpur mula dipindah

Pangkalan Udara Kuala Lumpur mula dipindah

by M.Daim

Kuala Lumpur, 15 Mac – Perbarisan Perpindahan Permulaan Pangkalan Udara Kuala Lumpur telah di adakan di Pangkalan Udara Kuala Lumpur petang tadi. Perbarisan yang dianggotai oleh seramai 15 orang pegawai dan 205 orang anggota lain-lain pangkat.

Penyerahan bendera menjadi simbolik bermulanya pemindahan.

Perbarisan bersejarah ini diadakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai simbolik pemindahan pangkalan udara pertama TUDM yang akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan.

Upacara Penyerahan Bendera Pangkalan Udara Sendayan kepada Komander Pangkalan Udara Sendayan, Kolonel Mohamad Noh bin Daim merupakan simbolik perpindahan permulaan. Penyerahan bendera ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara,  Jeneral Tan Sri Hj Affendi bin Buang. Upacara ini turut disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohammed Affandi bin Raja Mohamed Noor.

Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang bertempat di Jalan Lapangan Terbang Lama, Sungai Besi merupakan Pangkalan Udara Pertama Tentera Udara Diraja British (RAF) di Tanah Melayu. Pangkalan ini mula beroperasi pada 1 Jun 1941 manakala Tentera Udara Diraja Persekutuan (kini TUDM) ditubuhkan dan mula beroperasi pada 2 Jun 1958.

Pangkalan ini digunakan bagi memudahkan operasi RAF dalam mempertahankan Tanah Melayu serta menjadi pusat perhubungan Royal Air Force dengan Pangkalan Udara di Seletar, Singapura.

Pada 25 Oktober 1960, Pangkalan Udara Kuala Lumpur secara rasminya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Persekutuan.

Selari dengan keperluan semasa, pemindahan ini terpaksa dilaksanakan bagi memenuhi kehendak Pelan Transformasi TUDM dan juga akibat kesan pembangunan pesat di sekitar Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Arus permodenan yang menyaksikan pembangunan dan perubahan kawasan sekitar pangkalan yang begitu pesat membangun telah memberikan kesan kepada peranan Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Sebagai komitmen kerajaan untuk memenuhi Pelan Transformasi Air-Force Next Generation TUDM yang sedang berjalan, pangkalan ini perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih  luas, komprehensif, sistematik dan mempunyai kemudahan yang lengkap.

 

 

Related Articles

Leave a Reply