TUARAN, 4 Feb – Sejumlah 772 veteran tentera berjaya menjadi usahawan selepas menyertai pelbagai kursus anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menerusi Program Pembangunan Sosioekonomi Veteran Tentera Tidak Berpencen (PPSEV) pada 2017.
Pengerusi PERHEBAT Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 1,439 orang veteran tentera yang menyertai kursus kemahiran dan keusahawanan di bawah program itu sepanjang tahun lepas di seluruh negara.
“PERHEBAT berharap penganjuran pelbagai kursus di bawah PPSEV berupaya membantu veteran tentera mempertingkat kemahiran keusahawanan golongan itu sekali gus melonjakkan lagi pendapatan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pelaksanaan program PPSEV di sini.
Enam puluh tiga veteran tentera di Sabah mengambil peluang menyertai kursus PPSEV selama tiga hari berakhir esok dengan empat bidang kursus dilaksanakan iaitu kursus asas akuakultur dan penternakan ikan marin; pembuatan coklat dan produk bakeri; pengurusan inap desa dan usahawan kambing golek.
Abdul Aziz berkata dua daripada kursus berkenaan masing-masing kursus asas akuakultur dan penternakan ikan marin serta pembuatan coklat dan produk bakeri dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS).