Home Semasa Ketua Eksekutif Bergelar Datuk Antara Empat Individu Ditahan SPRM

Ketua Eksekutif Bergelar Datuk Antara Empat Individu Ditahan SPRM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk ketua eksekutif bergelar Datuk kerana disyaki menyeleweng dana kerajaan bernilai hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 58 tahun itu ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan, 34, penolong pegawai kewangan, 32, dan seorang pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor, 38, di beberapa lokasi di ibu negara dalam satu operasi khas SPRM antara 4.30 dan 6 petang tadi.

“Siasatan awal mendapati pada tahun 2016, mereka telah menyeleweng sebanyak RM15 juta manakala RM25 juta pada tahun ini,”katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Difahamkan, kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi mengendalikan program-program latihan tahun ini dan memperuntukkan sebanyak RM35 juta pada tahun lepas kepada perbadanan itu.

Suspek Seleweng Dana Latihan Kemahiran

Dana itu diberi kerajaan untuk mengendalikan program-program latihan kemahiran khusus kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata pihaknya sedang mendapatkan dokumen-dokumen melibatkan penyelewengan tersebut.

Beliau berkata SPRM akan memanggil saksi-saksi untuk mengambil keterangan dalam masa terdekat. SPRM  tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap untuk membantu siasatan.

“Kami akan menyiasat kes ini secara terperinci dan mengenal pasti saksi-saksi yang perlu dipanggil untuk tampil membantu siasatan dalam masa terdekat,”katanya.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!