Dominasi tradisi kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan Rusia dalam industri pertahanan global kini berdepan saingan sengit, apabila Turkish Aerospace Industries (TAI) berjaya menembusi pasaran Eropah menerusi pesawat latihan jet HÜRJET.
Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian komersial, sebaliknya langkah TAI dalam rundingan dengan Tentera Udara Sepanyol menandakan satu detik penting dalam evolusi industri pertahanan Turkiye sebagai pemain strategik baharu dalam rantaian bekalan NATO.
Pengumuman terbaharu mengenai pengambilalihan 30 unit pesawat latihan jet HÜRJET oleh Sepanyol dengan nilai €2.6 bilion bersamaan kira-kira $3.05 bilion membawa makna geopolitik yang lebih luas.
HÜRJET dan keyakinan sebuah negara NATO

Dengan HÜRJET, Türkiye meneruskan peralihannya menjadi sebuah negara yang mampu membangun, menghasilkan dan mengeksport platform udara berteknologi tinggi, sementara eksport pertahanannya maju ke tahap kualitatif dan kuantitatif yang baharu. Foto: Air Force Technology
Buat pertama kalinya, sebuah pesawat jet latihan berawak (manned aircraft) rekaan dan buatan Turkiye dipilih untuk memasuki inventori negara anggota NATO dan Kesatuan Eropah (EU).
Perkembangan ini menandakan peralihan peranan Ankara daripada pengguna kepada pembekal teknologi pertahanan berimpak tinggi.
Pilihan Sepanyol terhadap HÜRJET bukanlah keputusan spontan. Menurut Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Haluk Görgün, perjanjian tersebut dimuktamadkan selepas melalui penilaian teknikal terperinci, perbincangan antara Tentera Udara kedua negara, lawatan fasiliti pengeluaran serta analisis terhadap potensi kerjasama industri jangka panjang.
Pendekatan menyeluruh ini mengukuhkan keyakinan Madrid terhadap keupayaan teknikal dan komitmen sokongan Turkiye.
HÜRJET dinilai bukan sekadar sebagai pesawat latihan lanjutan, tetapi sebagai platform yang selari dengan keperluan interoperabiliti NATO. Aspek keselamatan, penerbangan, integrasi sistem, keserasian doktrin latihan dan sokongan sepanjang kitar hayat menjadi faktor utama dalam keputusan tersebut.
Dalam konteks ini, HÜRJET Turkiye memenuhi piawaian operasi pakatan tentera paling berpengaruh di dunia.
HÜRJET vs Pesaing Global: Mengapa Sepanyol Memilih Helang Besi Turki?
Pasaran pesawat Latihan Lanjutan (LIFT) sememangnya kompetitif, dengan kehadiran pemain mapan dari Eropah dan Amerika Utara. Namun, Sepanyol melihat nilai tawaran Turkiye melangkaui spesifikasi pesawat semata-mata.
“Perjanjian ini bukan sekadar perjanjian pesawat latihan. Ia merupakan kontrak komprehensif yang merangkumi banyak inovasi termasuk sistem darat, sistem simulasi termaju, dan pakej penyelenggaraan lengkap,” kata Görgün
Pendekatan penyesuaian ini, yang digelar sebagai versi “gaya Sepanyol”, memperlihatkan fleksibiliti reka bentuk dan kematangan kejuruteraan aeroangkasa Türkiye berbanding model penyelesaian seragam yang sering ditawarkan oleh pengeluar lain.
HÜRJET dibangunkan dengan ruang penyesuaian yang lebih luas. Faktor ini menjadikan tawaran Ankara lebih relevan kepada keperluan operasi sebenar Tentera Udara Sepanyol.
Dari sudut prestasi, ia bukan sahaja kompetitif dari segi kos, malah unggul dari segi avionik moden, kebolehan latihan tempur dan keupayaan peralihan juruterbang ke pesawat pejuang generasi baharu. Gabungan ini menjadikannya platform latihan yang strategik, bukan sekadar aset sokongan.
Transformasi Türkiye kepada pengeksport teknologi tinggi
Kejayaan eksport ini turut mencerminkan transformasi menyeluruh industri pertahanan Turkiye. Selama beberapa dekad, Turkiye dikenali bergantung kepada import kelengkapan pertahanan Barat. Namun, menurut Görgün, kadar pengeluaran domestik industri pertahanan Türkiye kini mencecah antara 82 hingga 83 peratus.
Pembangunan HÜRJET melibatkan kira-kira 200 syarikat tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem nasional.
Rantaian bekalan ini telah menghasilkan sekitar 230 produk pertahanan berbeza yang kini dieksport ke lebih 185 negara. Perubahan ini mengangkat Turkiye sebagai pengeksport teknologi tinggi, bukan lagi sekadar pasaran pengguna.
Dalam konteks geopolitik yang semakin tidak menentu, keupayaan berdikari ini memberi nilai strategik yang besar kepada Ankara.
Batu loncatan ke pasaran Eropah dan negara ketiga

Prototaip pertama jurulatih jet canggih Hürjet yang digambarkan semasa penerbangan sulungnya keluar dari kemudahan Turkish Aerospace 20 km barat laut Ankara pada 25 April 2023. Foto: Turkish Aerospace
Kemasukan HÜRJET ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Sepanyol juga dilihat sebagai “batu loncatan” penting ke pasaran Eropah yang lebih luas. Dalam industri pertahanan, ‘track record‘ penggunaan oleh negara NATO dan EU berfungsi sebagai penanda aras kredibiliti. Pelaburan besar Sepanyol secara tidak langsung mengurangkan keraguan negara lain terhadap kualiti dan kebolehpercayaan produk Turkiye.
Lebih signifikan, HÜRJET berpotensi memainkan peranan dalam pembentukan standard latihan masa depan NATO. Sebagai platform latihan yang melatih juruterbang pejuang moden, ia mempengaruhi keseragaman prosedur, doktrin dan interoperabiliti antara sekutu. Ini memberi kelebihan strategik jangka panjang kepada Turkiye dalam ekosistem keselamatan Eropah.
Perjanjian ini juga membuka ruang kepada pembangunan bersama, penyepaduan subsistem dan eksport ke negara ketiga. Model kerjasama menang-menang yang diketengahkan Ankara meningkatkan daya tarikan HÜRJET sebagai platform yang berkembang, bukan statik.
Sejak penerbangan sulungnya pada April 2023, pesawat ini telah bergerak pantas daripada fasa ujian ke fasa eksport, satu kadar kemajuan yang jarang berlaku dalam industri aeroangkasa. Ia bukan sekadar kisah kejayaan sebuah pesawat, tetapi gambaran perubahan kedudukan strategik Türkiye dalam landskap keselamatan global yang semakin dinamik. -airtimes.my
#Airtimes #HÜRJET #TUSAS #Industripertahanan #Sepanyol #Turkiye




