BEIRUT, 23 APRIL – Seorang lagi anggota pengaman Perancis di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) disahkan maut akibat kecederaan parah selepas diserang di Ghanduriyah, selatan Lubnan.
Kematian Koperal Anicet Girardin, meninggal dunia di sebuah hospital di Paris pagi semalam, menjadikan angka korban insiden pada 18 April lalu meningkat kepada dua orang.
Mangsa yang merupakan pakar pengendali anjing, cedera parah ketika menjalankan operasi bersama pasukan pelupusan ordnans letupan (EOD) kontinjen Perancis.
Pasukan tersebut dilaporkan diserang menggunakan tembakan senjata ringan oleh kumpulan bukan negara ketika sedang membersihkan laluan untuk membuka semula akses ke kedudukan UNIFIL yang terpencil.
Selain Girardin, insiden itu turut mengakibatkan dua lagi anggota pengaman cedera.

Koperal Anicet Girardin cedera parah ketika menjalankan operasi bersama pasukan pelupusan ordnans letupan (EOD) kontinjen Perancis./Foto: UNIFIL
Anggota ketiga yang cedera parah telah dihantar pulang ke Paris semalam untuk rawatan perubatan berterusan, manakala anggota keempat yang mengalami kecederaan ringan dibenarkan pulang ke pangkalan Dayr Kifa.
Susulan insiden berdarah itu, pihak UNIFIL mendesak kerajaan Lubnan untuk menyegerakan siasatan bagi mengheret pelaku ke muka pengadilan.
“Serangan sengaja terhadap pengaman adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan 1701, serta boleh disifatkan sebagai jenayah perang,” tegas agensi tersebut dalam satu kenyataan rasmi.
UNIFIL kini sedang melaksanakan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi mengenal pasti kronologi sebenar insiden tersebut. -airtimes.my
