PUTRAJAYA, 11 MAC – Seramai 170 individu berjaya dibawa pulang ke tanah air menerusi operasi evakuasi yang dilaksanakan Kerajaan Malaysia bagi membantu rakyat negara ini yang terkandas di zon konflik Asia Barat.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam satu kenyataan memaklumkan operasi tersebut dilaksanakan melalui penerbangan khas oleh Malaysia Airlines yang dihantar ke Jeddah bagi membawa pulang kumpulan terbabit.
“Penerbangan khas ini telah berlepas dari Kuala Lumpur ke Jeddah pada 10 Mac 2026 sebelum selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 12.48 tengah hari, hari ini.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 133 orang merupakan rakyat Malaysia yang berada di Jeddah dan Madinah. Selebihnya melibatkan individu yang dipindahkan dari beberapa negara lain di rantau Asia Barat termasuk Qatar seramai 34 orang, Syria dua orang dan Jordan seorang,” katanya.
Selain itu, turut dibawa pulang menerusi operasi ini ialah ahli keluarga kepada rakyat Malaysia yang berstatus warganegara asing. Mereka terdiri daripada lima warganegara Thailand, seorang warganegara Indonesia dan seorang warganegara Maghribi.
“Operasi evakuasi berkenaan diselaraskan oleh MKN di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri serta Perwakilan Malaysia di Jeddah, Doha dan Amman,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak perwakilan Malaysia di lapangan memainkan peranan penting dalam menyelaras pergerakan individu yang terjejas termasuk menguruskan pemindahan melalui laluan darat dari beberapa lokasi di rantau tersebut ke Jeddah bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia Airlines serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan operasi membawa pulang rakyat Malaysia ke tanah air berjalan lancar. –airtimes.my

