TEHRAN, 17 MAC – Komander Tentera Laut Iran, Shahram Irani memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel bahawa mereka akan berdepan tindak balas susulan insiden penenggelaman kapal pemusnah Dena.
Beliau menegaskan bahawa operasi membalas dendam ke atas kematian 104 pegawai dan kelasi tentera laut negara itu akan dilancarkan secara mengejut dari ruang pertempuran yang sama sekali tidak dijangka.
Amaran tersebut memberi isyarat jelas bahawa skala tindak balas Tehran mungkin melangkaui medan pertempuran konvensional dan berpotensi melibatkan serangan asimetrik terhadap aset musuh di pelbagai lokasi strategik.
“Kami tidak akan melupakan jenayah musuh (AS dan Israel), dan kami akan menuntut bela atas darah anggota kami yang terkorban.
“Musuh harus tahu bahawa kami akan menghukum dengan serangan maut dari arah yang tidak ada dalam jangkaan mereka,” katanya dalam satu laporan media Iran, pada Isnin,
Kapal frigat IRINS DENA telah diserang menggunakan torpedo MK-48 yang dilancarkan dari sebuah kapal selam milik tentera AS pada 4 Mac lalu. Serangan mengejut itu berlaku pada jarak kira-kira 40 batu nautika di luar pantai Galle, Sri Lanka ketika kapal berkenaan sedang dalam pelayaran.
Kapal kelas MOUDGE tersebut sebelum itu telag menyertai latihan tentera laut pelbagai negara di India atas jemputan rasmi daripada Tentera Laut India. Serangan berlaku ketika aset tersebut sedang merentasi perairan antarabangsa.
Tragedi maritim itu telah mengorbankan 104 orang anak kapal. Laporan memetik pengesahan pegawai pihak berkuasa yang memaklumkan bahawa sebanyak 87 mayat berjaya ditemukan hasil operasi mencari dan menyelamat, manakala 32 kelasi lain berjaya diselamatkan.
Insiden penenggelaman tersebut turut disahkan oleh Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth. Pengesahan itu mencetuskan kemarahan Iran dan kontroversi di peringkat global berhubung keabsahan serangan tersebut.
Menyentuh mengenai kehilangan besar itu, Shahram menyatakan bahawa seluruh negaranya bersedih atas tragedi tersebut namun keazaman angkatan tentera Iran untuk menuntut bela sama sekali tidak akan luntur.
Upacara pengebumian penghormatan untuk kesemua mangsa tragedi dijadualkan berlangsung pada petang Selasa sebelum mereka dikebumikan pada keesokan harinya.
Serangan terhadap IRINS DENA merupakan antara serangan yang dilaksnakan oleh tentera AS dalam minggu pertama Operation Epic Fury.
Operasi yang dilaksanakan secara serentak dengan Israel (Operation Roaring Lion) itu telah mendapat tindak balas dari Tehran melalui Operation True Promise. – airtimes.my





