KUALA LUMPUR, 7 Nov – Sebuah kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Tentera Darat Malaysia (TDM) terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) petang tadi.
TDM dalam kenyataan memaklumkan, kenderaan dari 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek) bersama muatan 2 buah Kenderaan Jenis A (KJA) ADNAN milik Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek) telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di KM 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak pada jam lebih kurang 4.45 petang.
Menurut TDM, kenderaan berkenaan dalam perjalanan secara konvoi sebanyak 6 KPKP yang membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur (LPT).
“Melalui laporan awal yang diterima, kemalangan disebabkan KPKP cuba untuk mengelak sebuah trailer awam yang telah menukar haluan dan masuk ke lorong kanan secara tibatiba,
“Disebabkan keadaan jalan yang licin akibat cuaca hujan, KPKP telah hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke jalan bertentangan,” jelas TDM.
Jelas TDM, kerosakan adalah keseluruhan bahagian Prime Mover KPKP manakala tiada kerosakan pada KJA dan pemandu KPKP tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kenderaan lain yang berada di dalam konvoi telah meneruskan perjalanan ke Kem Perdana Sungai Besi,” jelas TDM lagi.
Sehubungan itu, TDM telah menggerakkan sebuah kenderaan KEMBALIK dari pasukan Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD Mek) dari Kem Batu 10, Kuantan dan sebuah KPKP dari Kem Perdana Sungai Besi ke lokasi kemalangan bagi membuat penarikan KPKP dan pengambilan 2 buah KJA yang terlibat kemalangan.
Dalam masa yang sama, TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi menyiasat punca sebenar kemalangan berlaku. -airtimes.my
#TDM #kemalangan #latihan #lebuhraya #airtimes

