LISBON, 23 SEPTEMBER – Tentera Udara Portugal menandatangani pindaan kontrak dengan Embraer bagi pemerolehan sebuah lagi pesawat KC-390 Millennium, menjadikan jumlah keseluruhan enam buah, selain membuka sepuluh opsyen pembelian baharu untuk bakal rakan kongsi pada masa depan.
Ketua Turus Tentera Udara Portugal, Jeneral João Cartaxo Alves, berkata pesanan tambahan itu akan meningkatkan keupayaan strategik dan operasi secara signifikan.
“Perolehan pesawat keenam ini menambah ketersediaan untuk pengangkutan taktikal dan logistik. Langkah ini melengkapkan Portugal dengan platform yang mantap dan fleksibel, membolehkan tindak balas pantas serta berkesan untuk pelbagai spektrum misi ketenteraan dan bantuan kecemasan awam, di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa kontrak tambahan yang merangkumi sepuluh opsyen baharu turut mengukuhkan Pangkalan Udara No. 11 sebagai pusat latihan khusus bagi juruterbang dan operator KC-390, sekaligus meletakkan Portugal sebagai pusat kecemerlangan latihan pesawat berkenaan dalam kalangan negara NATO.
Majlis menandatangani kontrak pada 17 September lalu di Lisbon itu disifatkan sebagai sebahagian usaha negara berkenaan memperkukuh kemampuan operasi Angkatan Tentera Portugal serta meningkatkan kesiapsiagaan bagi misi kepentingan awam.
Presiden dan CEO Embraer Defense & Security, Bosco da Costa Júnior, pula berkata kontrak ini membuktikan pengiktirafan terhadap keupayaan dan keberkesanan operasi KC-390.
“Portugal menjadi penanda aras bagi negara-negara Eropah dan anggota NATO lain yang sedang mencari pesawat pelbagai misi moden untuk memperkasakan armada masing-masing,” katanya.
Sejak mula beroperasi bersama Tentera Udara Brazil pada 2019, Tentera Udara Portugal pada 2023 dan Tentera Udara Hungary pada 2024, KC-390 telah membuktikan keupayaan serta kebolehpercayaannya dengan rekod kejayaan misi melebihi 99 peratus. Sehingga kini, pesawat abad ke-21 itu telah dipilih oleh 11 Tentera Udara di seluruh dunia, termasuk lapan negara Eropah dan tujuh anggota NATO.
Pesawat KC-390 Millennium mampu membawa muatan sehingga 26 tan, terbang pada kelajuan 470 knot dan melaksanakan pelbagai misi termasuk pengangkutan dan penjatuhan kargo serta anggota, pemindahan perubatan, operasi mencari dan menyelamat (SAR), pemadaman kebakaran, misi kemanusiaan serta operasi udara-ke-udara sebagai tanker atau penerima bahan api.– airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #Global #TeknologiPertahanan #KC390 #Embraer #Portugal #NATO

