A400M sememangnya amat dikenali kita semua memandangkan pesawat ini telah menabur bakti tersendiri kepada negara melalui perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia TUDM).
Tarikh 11 Disember merupakan hari yang penting dalam sejarah pembangunan A400M di mana pesawat itu berjaya melakukan penerbangan ulungnya pada tahun 2009.
A400M dibangunkan sebagai pesawat pengangkut generasi baharu, direka untuk memenuhi keperluan misi strategik dan taktikal. Pesawat ini berupaya mengangkut sebanyak maksimum 37 tan metrik, menjadikannya mampu membawa muatan besar seperti kereta kebal, helikopter, dan peralatan tentera yang lain.
Dari segi reka bentuk, A400M mempunyai dimensi badan yang besar, dengan panjang 45.1 meter dan lebar sayap 42.4 meter. Pesawat ini dikuasakan oleh empat enjin turboprop EuroProp TP400-D6, yang memberikan daya tujah tinggi dan kecekapan bahan api.
Kelajuan maksimum pesawat ini adalah Mach 0.72 (882 km), dengan jarak penerbangan sehingga 8,700 kilometer tanpa perlu mengisi semula bahan api.
Keupayaan pesawat untuk mendarat di landasan tidak berturap atau pendek adalah salah satu ciri utama yang membezakannya daripada pesawat lain. Ini membolehkan A400M beroperasi di kawasan terpencil dan sukar diakses, sesuai dengan cabaran geografi yang terdapat di serata dunia.
Di samping itu, A400M boleh digunakan sebagai pesawat pengisian bahan api udara ke udara (air-to-air refueling), memberi kelebihan kepada amana-mana pasukan tentera untuk menyokong aset udara mereka dalam operasi jarak jauh.
A400M juga dilengkapi dengan sistem Avionik digital dan paparan kokpit moden, memastikan pengendalian yang cekap dan keselamatan penerbangan yang tinggi. Ia juga menggunakan teknologi fly-by-wire, yang meningkatkan kawalan dan kestabilan pesawat semasa penerbangan, terutama dalam situasi cuaca buruk.
Sistem komunikasi pada A400M membolehkan integrasi dengan operasi bersama pasukan antarabangsa, memudahkan kerjasama dalam misi kemanusiaan dan ketenteraan global. Keupayaan ini telah terbukti dalam beberapa operasi antarabangsa seperti di Palu, Afghanistan, Gaza, Sudan dan Niger.
Penerbangan pertama A400M pada tahun 2009 menandakan permulaan revolusi dalam keupayaan pengangkutan udara ketenteraan. Sejak itu, pesawat ini telah digunakan oleh lebih daripada 10 negara untuk pelbagai misi penting, termasuk penghantaran bantuan bencana, evakuasi, dan sokongan ketenteraan.
Di sebalik tarikh 11 Disember ini, Airbus telah berjaya menghantar pesawat A400M pertama kepada Kazakhstan.
Kazakhstan kini menyertai keluarga negara pengguna A400M seperti United Kingdom, Malaysia, Jerman, Perancis, Turkiye, dan Sepanyol. Penambahan ini dijangka bukan sahaja memperkukuhkan kemampuan angkatan tenteranya tetapi juga menyumbang kepada kestabilan keselamatan serantau. -airtimes.my
#airtimes #A400M #Airbus #teknologipertahanan




