Home Semasa Kerajaan sedia peruntukan tambahan untuk pasca banjir – Anwar

Kerajaan sedia peruntukan tambahan untuk pasca banjir – Anwar

by Muhammad Izzat

PUTRAJAYA, 2 DIS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan bersedia menyediakan peruntukan tambahan bagi melaksanakan tindakan susulan pasca banjir, yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Tegasnya peruntukan tambahan itu akan digunakan untuk membaik pulih sekolah-sekolah, pusat pemindahan sementara (PPS) serta infrastruktur lain yang rosak akibat banjir seperti jalan raya.

“Tindakan susulan ini satu hal yang patut kita siap, bila surut tentunya ada tanggungjawab memulihkan, sebab itu kita juga sediakan peruntukan tambahan untuk baiki sekolah-sekolah, pusat pemindahan sementara (PPS), kemudahan kebersihan tandas dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perjumpaan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Disember 2024, hari ini.

Infografik situasi terkini banjir di sembilan buah negeri. Sumber: Info Bencana JKM

Terdahulu, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan segera sebanyak RM50 juta akan disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu di mana masing-masing menerima RM25 juta.

Anwar turut menyifatkan persiapan menghadapi banjir kali ini sebagai luar biasa, dan menegaskan bahawa tindakan susulan pasca banjir perlu meliputi seluruh kawasan yang terjejas.

“Tetapi eloklah saya tegaskan tentang khidmat seluruh jentera kabinet turut turun, setiap menteri turun, pegawai khidmat awam, jentera itu luar biasa.

“Saya lihat pegawai APM, kesihatan dan semua di Setiu yang kita lawati, nampak semua matanya bengkak, tak cukup tidur. Ini cerita-cerita kebaikan yang kadang-kadang tak dihebahkan,” katanya.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia, jumlah mangsa banjir yang terjejas di sembilan negeri terus mencatatkan penurunan berterusan seramai 120,543 orang setakat 3 petang, berbanding 138,052 orang setakat pagi tadi. -airtimes.my

#peruntukan #pasca #banjir #bencana #anwar

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!