KUALA LUMPUR, 14 OKT – Ketegangan antara China dan Filipina di Laut China Selatan berlaku di luar kawasan maritim Malaysia berdasarkan Peta Baru Malaysia pada tahun 1979.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya sentiasa mengambil maklum dan memantau perkembangan isu-isu di Laut China Selatan termasuklah ketegangan di kawasan tersebut.
“Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.
“Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berhubung tindakan kementerian di peringkat antarabangsa mengenai isu kedaulatan wilayah Maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan.
“Isu ini perlu dikendalikan secara berhati-hati, teliti dan menyeluruh.
“Setiap tindakan yang diambil oleh Kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, antara usaha serantau untuk memastikan keamanan dan kestabilan serta bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan, negara-negara ASEAN dan China juga telah memeterai Deklarasi Mengenai Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea, DOC) pada 4 November 2002.
“Selaras dengan persefahaman di bawah DOC ini, negara-negara ASEAN telah mengambil pendekatan mengawal diri (self-restraint) dan memastikan tindakan-tindakan yang diambil dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Laut China Selatan tidak akan meningkatkan ketegangan di lapangan.
“Negara-negara ASEAN dan China juga sedang berunding melalui Kod Tatacara di Laut China Selatan (Code of Conduct in the South China Sea, COC) yang dilihat sebagai satu kod tatacara bagi mengelakkan konflik dan ketegangan di Laut China Selatan,” ujarnya.
“Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya. -airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #LautChinaSelata





