KUALA LUMPUR, 11 OKT – Sebanyak 73 buah kem tentera akan sebagai menerima manfaat ‘Perajurit Broadband’ menerusi ‘Fibre to the Home (FTHH).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak RM99 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang memberi manfaat kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Inisiatif ini akan melibatkan sebanyak 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada dalam pelbagai kawasan RKAT,” katanya ketika Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif ini akan menyediakan pakej langganan dengan harga serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps.
“Tawaran harga mampu milik ini adalah inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk menghargai jasa dan pengorbanan warga ATM dalam bagi memastikan kedaulatan negara terjamin,” katanya.
Hadir bersama dalam majlis berkenaan ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara ATM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).