Home DiskusiUNIFIL: Tersepit di antara pertelagahan Israel-Hezbollah

UNIFIL: Tersepit di antara pertelagahan Israel-Hezbollah

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) adalah pasukan penjaga keamanan yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1978.

Misi pengaman ini didirikan melalui Resolusi Dewan Keamanan PBB 425 dan 426 setelah pencerobohan Israel ke atas Lubnan.

Tujuan utama UNIFIL dibentuk adalah untuk menjamin keamanan dan kestabilan di kawasan perbatasan Lubnan dan Israel, memastikan penarikan tentera Israel dari Lubnan serta membantu pemerintah Lubnan dalam mengembalikan kekuasaannya di wilayah selatan negara itu termasuk di perbatasan Israel.

Sejak pembentukan UNIFIL, mandat UNIFIL diperbaharui beberapa kali bersesuaian dengan perkembangan situasi keamanan di Lubnan terutama selepas konflik tahun 2006 antara Israel dan Hezbollah.

Namun, konflik antara Israel dan Hezbollah ketika ini kembali tercetus apabila berlakunya beberapa siri pengeboman oleh Israel terhadap selatan Lubnan.

Serangan yang dilakukan Hezbollah terhadap Israel ketika ini adalah untuk membela Palestin dan balasan kepada Israel kerana melakukan jenayah perang ke atas Gaza dan rakyat Lubnan.

Pertelagahan ini dilihat kian meruncing apabila Israel mula mengerahkan tenteranya untuk memulakan operasi serangan darat terhadap Hezbollah dan cuba menceroboh wilayah Lubnan.

Hal ini menyebabkan keselamatan anggota UNIFIL terancam kerana tersepit di tengah-tengah kawasan peperangan antara Israel dan Hezbollah, menjadikan misi mereka yang diatur oleh Resolusi 1701 PBB semakin sukar dilaksanakan.

Pertelagahan antara kedua belah pihak sekaligus memberi kesan dan dampak yang signifikan terhadap operasi dan misi UNIFIL di selatan Lubnan.

Dengan situasi peperangan yang kembali bergejolak, UNIFIL kini menghadapi sekatan pergerakan yang ketat dan pengurangan keberkesanan operasi.

Dalam serangan terbaru Israel ke selatan Lubnan, Israel meminta pasukan UNIFIL untuk berpindah dari beberapa posisinya, yang mengganggu misi pemantauan mereka.

Israel juga menyampaikan naratif yang cuba mencabar kredibiliti UNIFIL, terutamanya dengan menunjukkan bukti terowong-terowong yang didakwa digali oleh Hezbollah, walaupun di bawah pemantauan UNIFIL

Serangan udara dan darat Israel di kawasan-kawasan yang dipertikaikan menambah risiko kepada pasukan pengaman.

Susulan dari itu, UNIFIL telah mengambil langkah-langkah darurat untuk menyesuaikan posisinya serta meminimumkan risiko kepada anggota mereka.

Baru-baru ini, tentera Israel semakin mencabar pasukan UNIFIL apabila melakukan pendudukan berhampiran pangkalan pengaman PBB di mana tentera Ireland ditempatkan di sana.

Akhbar Jurnal telah memperoleh gambar pencerobohan yang menunjukkan kereta kebal Israel menggunakan pos luar Ireland di 6-52 di dalam Lubnan hanya beberapa ratus meter dari pangkalan Israel di dalam Israel berhampiran Avimim.

Imej itu menunjukkan kereta kebal Merkava Israel dan Pengangkut Kakitangan Berperisai Leopard disembunyikan di dinding barat kem Ireland.

Terdapat dua traktor berperisai juga kelihatan membina posisi pertahanan untuk menyembunyikan kereta kebal.

Salah satu kereta kebal Israel boleh dilihat menghalakan tongnya ke arah pangkalan Ireland dan menuruni jalan raya bersebelahan pangkalan.

Kem Ireland terletak berhampiran Maroun al-Ras, di mana lapan askar Israel terbunuh minggu lalu.

Tentera Israel (IDF) telah meminta kakitangan UNIFIL untuk meninggalkan beberapa pangkalan mereka di selatan Lubnan, tetapi pasukan PBB kekal dan memilih untuk kekal sebagai pemerhati konflik.

Sebaliknya, PBB telah meminta Israel berundur daripada kedudukannya tetapi mereka tidak menjawab permintaan itu.

Keseluruhannya, peranan UNIFIL dalam menjaga keamanan dan kestabilan di kawasan tersebut semakin terancam, dan masa depan misi mereka kian sukar berikutan situasi yang tidak menentu di perbatasan Lubnan dan Israel. – airtimes.my

#AirTimes #UNIFIL #Lubnan

 

Related Articles

Leave a Reply