MELAKA, 12 JULAI – Program Professional Interaction and Intellectual Discourse (PIID) 2025 menjadi platform strategik dalam mempertingkatkan sinergi kesefahaman dan membina kepercayaan serta memperluas jaringan kerjasama antara Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan berkata, program ini bukan sahaja memberi peluang untuk pertukaran pandangan strategik, malah turut membuka ruang buat pegawai peringkat pertengahan berkongsi pandangan, bertukar pengalaman terhadap isu keselamatan serantau.
“Program PIID juga menampilkan suasana lebih santai dalam usaha memupuk semangat setia kawan sambil mengekalkan objektif memperkukuh profesionalisme dan kefahaman dua hala.
“Kemuncak program menyaksikan sesi Intellectual Discourse yang menghimpunkan Pegawai Kanan berpangkat Leftenan Kolonel dan Mejar setaraf dari ATM dan SAF bersama Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Panglima Angkatan Bersenjata Singapura, Laksamana Madya Aaron Beng,” katanya pada Sabtu.
Antara topik utama yang menjadi tumpuan perbincangan termasuk potensi kerjasama industri pertahanan ASEAN, dinamika hubungan pasca krisis India-Pakistan dan persaingan kuasa besar di Laut China Selatan.
Selain itu, kehadiran Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman serta Pegawai Kanan dari kedua-dua angkatan turut memberi nilai tambah terhadap aspirasi memperkukuh persefahaman strategik.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan ATM dan SAF dalam menjayakan usaha mempertahankan keamanan dan kestabilan rantau ini secara bersama melalui pendekatan yang inklusif dan progresif.
Inisiatif diplomasi pertahanan ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 10 hingga 12 Julai 2025 di A’ Famosa Golf Resort, Melaka dengan penyertaan kira-kira 40 pegawai dari kedua-dua negara. –airtimes.my
#AirTimes #ATM #SAF #PIID2025 #DiplomasiPertahanan #KerjasamaSerantau #Malaysia


















