Home SemasaMinda dijajah, negara terancam: Bahaya perang naratif moden

Minda dijajah, negara terancam: Bahaya perang naratif moden

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Jika dahulu senjata api menamatkan nyawa, hari ini sebuah cerita mampu menamatkan kepercayaan rakyat terhadap negaranya, sebaliknya, kata-kata, imej dan naratif mampu menembusi sempadan, menjajah minda dan menjatuhkan sesebuah negara tanpa sebutir peluru pun dilepaskan.

Inilah yang dikenali sebagai perang naratif, satu bentuk pertempuran yang tidak kelihatan, tetapi memberikan impak yang sangat nyata kepada sesebuah negara dan masyarakat.

Secara ringkas, perang naratif adalah usaha sistematik untuk membina, menyebar dan meneguhkan sesuatu jalan cerita atau perspektif tertentu bagi mencapai matlamat politik atau strategik.

Dalam konteks peperangan moden, ia sering digunakan oleh negara-negara besar, kumpulan bersenjata bukan negara, atau aktor strategik lain bagi melemahkan semangat, memecahbelahkan masyarakat, mengalihkan perhatian umum, atau bahkan menjadikan sesuatu pihak sebagai ‘penjahat’ di mata dunia.

Contoh paling ketara dapat dilihat dalam konflik global seperti perang di Ukraine, krisis Palestin-Israel dan ketegangan di Laut China Selatan. Dalam semua konflik ini, pelbagai naratif bersaing antara satu sama lain di medan maya dan realiti.

Naratif Barat menggambarkan tindakan Rusia sebagai pencerobohan kejam, manakala naratif Rusia pula menyatakan mereka bertindak balas terhadap ancaman NATO dan mempertahankan penduduk etnik Rusia. Siapa yang betul? Jawapannya bergantung pada siapa yang anda dengar dan naratif mana yang anda percaya.


Peperangan naratif yang berlaku antara Rusia dan Ukraine-Nato FOTO: HIASAN


Lebih membimbangkan, perang naratif tidak lagi terhad kepada antara negara besar. Ia kini turut menular ke dalam negara, menggugat perpaduan dan kestabilan sosial. Di Malaysia, kita tidak terlepas daripada ancaman ini.

Sejumlah naratif yang bersifat provokatif, manipulatif dan tidak berlandaskan fakta disebarkan di media sosial bagi membentuk sentimen perkauman, menimbulkan ketidakpercayaan terhadap institusi kerajaan, dan merosakkan keyakinan terhadap pasukan keselamatan negara. Kadangkala, naratif yang kelihatan seperti ‘suara rakyat’ itu sebenarnya digerakkan oleh pihak luar yang mempunyai agenda tersendiri.

Apakah tujuan utama perang naratif?, tujuannya bukan sekadar untuk menyebarkan maklumat palsu atau propaganda, tetapi untuk mengawal pemikiran awam dengan menentukan bagaimana sesuatu isu difahami

Pihak yang mengawal naratif boleh mengarahkan sokongan atau penentangan terhadap sesuatu dasar, pemimpin, atau tindakan ketenteraan. Di sinilah letaknya kuasa sebenar perang naratif yang mampu mencetuskan perpecahan tanpa menembak sebutir peluru pun.

Dalam konteks ketenteraan dan keselamatan nasional, perang naratif turut memberikan cabaran besar. Tentera bukan sahaja perlu bersedia menghadapi ancaman fizikal di medan perang, malah turut perlu berperanan dalam memelihara legitimasi dan moral awam melalui pengurusan persepsi.

Naratif negatif terhadap operasi keselamatan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pasukan keselamatan dan membuka ruang kepada musuh memanipulasi ketidakpuasan awam.

Lebih kritikal, perang naratif kini bergerak seiring dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘deepfake’, dan algoritma media sosial yang menyasarkan emosi pengguna. Dalam sekelip mata, video atau kenyataan yang dimanipulasi boleh mencetuskan ketegangan kaum, panik awam, atau bahkan rusuhan. Ini bukan sekadar isu komunikasi tetapi ini adalah isu keselamatan negara.

Justeru, bagaimana Malaysia harus bertindak?.Langkah pertama adalah dengan membina ketahanan naratif (narrative resilience) melalui pendidikan literasi media dan pemikiran kritikal. Masyarakat perlu dilengkapi dengan keupayaan mengenalpasti maklumat palsu, menganalisis sumber, dan tidak mudah terpengaruh dengan emosi atau retorik kosong.


Naratif kini bergerak seiring dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), ‘deepfake’ dan algoritma media sosial. FOTO: HIASAN


Institusi kerajaan dan media arus perdana pula perlu lebih tangkas dalam memberikan penjelasan berfakta dan naratif tandingan yang meyakinkan serta bersifat inklusif.

Selain itu, kerjasama strategik antara agensi keselamatan, penggubal dasar, pengamal media, akademik dan masyarakat sivil perlu diperkukuhkan. Pertempuran naratif memerlukan respons lintas-sektor yang terancang dan bersepadu. Kita tidak boleh biarkan ruang maya terus dimonopoli oleh naratif-naratif asing yang bertujuan menggugat kestabilan negara.

Akhirnya, pertanyaan penting yang perlu kita renungkan: Dalam dunia yang dihujani dengan maklumat tanpa sempadan ini, siapakah yang sedang membentuk pemikiran kita? Apakah cerita yang kita percaya dan mengapa? Di medan perang naratif, yang benar tidak semestinya menang, tetapi yang meyakinkan akan menguasai. Dan jika kita tidak menulis naratif kita sendiri, orang lain akan menulisnya untuk kita. -airtimes.my

#Airtimes #Perangnaratif #Keselamatannasional #Ancamanmoden #Kedaulatannegara #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply